Hai korang! Dalam artikel sebelum ni, min ada kongsikan sejarah dan asal-usul nasi dagang kan? Bagi sesiapa yg tak tahu, resepi nasi dagang adalah hidangan yang dikukus bersama santan kelapa, dimakan bersama kari ikan dan bahan-bahan tambahan seperti kelapa goreng yang diparut, telur rebus dan jeruk sayur-sayuran. Ianya merupakan hidangan sarapan yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Terengganu, Kelantan dan Selatan Thailand wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.
Sebelum ni, min kongsikan jugak resepi nasi kandar. Kalini, jom kita semak resepi nasi dagang asli dari Terengganu ni pulak kat bawah!
Bahan-bahan (Nasi Dagang):
- 4 cawan /800g beras wangi
- 1 cawan /200g beras pulut
- 2 cawan santan pekat
- 2 cawan santan cair
- 1 1/2 sudu besar halba
- 2 inci halia
- 3 biji bawang merah kecil
- 3-4 sudu kecil garam
- 2 sudu besar gula
Bahan-bahan (Acar Timun):
- 1 batang timun
- 1/2 batang lobak merah
- 1/2 bawang besar
- 1 tangkai cili besar
- 1 tangkai cili padi
- Sedikit garam
- 1-2 sudu besar gula
- Cuka makan
Cara Penyediaan (Nasi Dagang):
- 1. Halia potong halus macam mancis, guna halia muda sebab lebih sedap tapi tak wajib, nak guna yang tua pun boleh.
- 2. Hiris nipis bawang merah kecil.
- 3. Campur beras wangi thai dan beras pulut (pilihan). Kalau dah guna beras wangi tak perlu tambah beras pulut tapi kalau guna beras biasa wajib tambah beras pulut.
- 4. Basuh dan rendam beras anggaran 8-9 jam.
- 5. Toskan air dan masuk beras dalam loyang pengukus. Boleh kalau nak alas beras dengan daun pisang.
- 6. Buat lubang antara beras. Boleh buat satu lubang besar di tengah atau banyak-banyak lubang sekaligus.
- 7. Bila air dalam periuk kukus dah panas, boleh masukkan loyang berisi beras tadi. Kukus anggaran 10 minit.
- 8. Untuk santan pekat, perahan kelapa parut dengan 2 cawan air. Perah ambil santan dan bancuh dengan garam dan gula.
- 9. Untuk santan cair, perah (perahan kedua dari kelapa parut yang sama) kelapa parut dengan 1 cawan air. Kalau takda santan cair boleh kukus nasi dengan air macam biasa dan tambah santan pekat atau santan kotak last sekali.
- 10. Pindah nasi dalam bekas / mangkuk besar.
- 11. Tuang masuk santan cair dan arungkan (kacau) sebati nasi. Kemudian, tambahkan halba dan sambung arung.
- 12. Bila nasi dah kering, masukkan balik nasi dalam loyang pengukus dan sambung kukus anggaran 20 minit.
- 13. Selepas 20 minit, pindah semula nasi dalam mangkuk besar tadi.
- 14. Masukkan hirisan bawang, halia dan santan pekat. Arung sampai nasi kering dan serap semua lembapan dari santan.
- 15. Pindah masuk nasi dalam bekas aluminium (untuk lambatkan nasi basi).
- 16. Tekan dan ratakan permukaan nasi. Tutup dan biarkan nasi rehat anggaran 15-20 minit.
- 17. Hidang bersama acar dan gulai ikan tongkol.
Cara Penyediaan (Acar Timun):
- 1. Timun potong memanjang (macam mancis) dan buang bahagian tengah / biji.
- 2. Lobak merah, buang kulit dan potong mancis (boleh parut kalau suka).
- 3. Hiris nipis bawang besar, cili merah dan cili hijau.
- 4. Masukkan kesemua bahan potong dalam mangkuk.
- 5. Perasakan dengan gula, garam dan cuka makan.
- 6. Kacau sebati dan simpan dalam peti sejuk.
Selamat mencuba!
Baca juga artikel: Resepi Nasi Lemak Simple Pasti Jadi!
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.