Makanan warisan merupakan sebahagian daripada khazanah yang diwarisi dari generasi terdahulu. Namun begitu, sebahagian besar masyarakat Melayu sekarang terutama generasi muda sudah tidak mengenali makanan warisan yang pernah menjadi kegemaran suatu masa dahulu. Kali ini kita akan membicarakan tentang tiga jenis kuih tradisional yang berasal dari negeri Pantai Timur Malaysia. Siapa yang tak kenal dengan negeri Terengganu, selain menjadi tarikan para pelancong dek keindahan dan kecantikan landskap di sini negeri ini juga mempunyai beberapa kuih tradisional yang unik. Dimana, kian hari kian pupus akibat daripada arus modenisasi.
Mari kita kenali tiga jenis kuih tersebut:
1. Che Abbas Demam
Kuih ini kedengaran sangat unik dan pastinya membuatkan ramai tertanya-tanya. Persoalannya, siapakah sebenarnya Che Abbas ini? Kuih Che Abbas Demam melambangkan kasih sayang seorang isteri di Terengganu. Kisahnya bermula apabila Che Abbas, seorang nelayan, jatuh sakit dan hilang selera makan. Isterinya, yang tidak berputus asa, mencipta hidangan unik menggunakan ikan selar dan sagu lebihan dari perniagaan keropoknya. Makanan itu dimasak bersama santan, halia, bawang merah, dan halba, lalu dihidangkan kepada suaminya. Walaupun pada awalnya enggan, Che Abbas akhirnya menikmati sajian itu dan kembali berselera. Makanan ini kemudiannya diberi kepada jiran-jiran, dan nama “Che Abbas Demam” spontan terilham, menjadi warisan unik masyarakat setempat.
Hidangan ini berasaskan adunan sagu yang dimasak dalam loyang, dipotong kecil selepas sejuk, dan dicampur dengan isi ikan. Ia kemudian disajikan bersama kuah santan berperisa, dimasak dengan bumbu seperti halia dan halba. Kuih ini biasanya dihidang dalam mangkuk kecil atau cawan khas. Rasa pertama yang dirasai ialah kelembutan kenyal sagu, kelemakan kuah santan, dan aroma harum halia serta halba.
2. Kek Ang
Kuih Kek Ang, salah satu kuih tradisional Terengganu, memiliki nama unik dan sejarah menarik. Ia dikenali juga sebagai k’ang atau ke’ang. Makanan ini hadir dalam dua versi asal usul. Versi pertama menyatakan namanya berasal daripada bahasa Thai, bermaksud kuih berkuah, menggambarkan pengaruh budaya Thai akibat penghijrahan masyarakat Siam melalui jalan sungai ke Pantai Timur. Versi kedua pula menyatakan asal-usulnya dari masyarakat Cina yang berhijrah melalui jalan laut, dengan nama dan resipi diolah mengikut budaya setempat.
Kek Ang ini menyerupai laksam, tetapi dengan perbezaan utama: kuahnya lebih manis, tiada ulam-ulaman, dan lapisan kuihnya lebih tebal. Cara penyediaannya mirip laksam, menggunakan campuran tepung gandum dan tepung beras yang dikukus sehingga masak, disejukkan, dan dipotong. Kuahnya dibuat daripada santan, isi ikan bakar yang ditumbuk, bawang merah, halia, halba, serta sedikit garam dan gula. Semua bahan dimasak hingga pekat sebelum dicampur dengan potongan kuih. Hidangan ini sebaiknya dinikmati panas, dengan rasa kuah mirip kuah ketupat sotong.
3. Bantal Buruk
Kuih Bantal Buruk, juga dikenali sebagai “Batang Buruk” atau “Bata Buruk,” merupakan kuih tradisional Terengganu. Nama unik ini dikaitkan dengan loghat dan slanga Terengganu. Kuih ini terdiri daripada tiga komponen utama: kulit, inti, dan kuah. Kulitnya diperbuat daripada tepung gandum, susu, telur, dan garam. Ada resipi yang menggantikan air dengan susu untuk rasa lebih berlemak.
Bentuk kulitnya menyerupai kuih ketayap. Intinya, dikenali sebagai “kekabu bantal,” menggunakan ikan, labu sagat, bawang merah, halia, halba, dan santan, dimasak sehingga kering dan diperasakan garam. Kuah lemaknya pula dibuat daripada santan, bawang merah, halia, halba, garam, dan ikan bakar untuk aroma khas. Kuah ini dimasak perlahan dan diperkaya dengan tepung beras untuk tekstur pekat. Setelah semua elemen siap, kuih digulung dengan inti ikan dan disajikan bersama kuah lemak. Walaupun kurang popular akibat promosi yang terhad, kuih ini masih diminati di kalangan pencinta makanan tradisional. Namun, ramai penduduk tempatan yang pernah menikmatinya mungkin tidak tahu nama atau asal usul kuih ini.
Secara keseluruhannya, sebagai rakyat di negara ini yang diwarisi dengan pelbagai keunikan budaya kita hendaklah mengenali dan berusaha untuk melestarikan warisan tradisional ini. Kuih-kuih tradisional ini seharusnya dipertahankan dan dipelihara supaya identiti kita tidak luput ditelan modenisasi.
Baca juga artikel:
Artikel oleh Syuriana Ibrahim