Ketewol: Makanan Tradisi Jawa Di Malaysia.

You are currently viewing Ketewol: Makanan Tradisi Jawa Di Malaysia.

Hai semua! Pernah tak anda dengar tentang masakan jawa yang bernama Ketewol? Makanan ini juga dikenali dengan nama lain seperti gapek, ketiwol, tiwul, atau tiwol, adalah sejenis kuih tradisional Jawa yang dibuat daripada tepung ubi kayu. Kuih ini muncul daripada keperluan menggantikan beras sebagai makanan utama ketika bekalan beras sukar diperoleh, terutamanya di kawasan tertentu di Jawa. Pada masa itu, ubi kayu menjadi sumber asas yang mudah didapati dan digunakan sebagai alternatif.

Hari ini, ketewol jarang dijumpai secara komersial dan biasanya hanya terdapat di kampung-kampung komuniti Jawa atau gerai kecil yang diusahakan oleh komuniti tersebut. Bahan asas dalam penyediaan ketewol termasuk tepung ubi kayu, gula, garam, daun pandan, dan kelapa parut.

Menarik bukan? Mari kita belajar resepinya:

Bahan-bahan Ketewol

  • 450 gram Tepung Ubi kayu
  • 400 ml Air Panas
  • 50 gram Gula Pasir
  • 100 gram Kelapa Parut
  • 10 gram Garam

Cara Penyediaan

  • Tepung ubi kayu yang telah diayak dicampurkan dengan air panas sedikit demi sedikit. Gaul sehingga menjadi adunan berketul (bukan doh).
Tepung Ubi Kayu
  • Adunan ketulan tadi diletakkan di atas daun pisang dan daun pandan di dalam pengukus. Pastikan pengukus telah dididihkan terlebih dahulu.
Adunan Tepung Di atas Daun Pisang
  • Kukus selama 15–20 minit. Selepas 10 minit pertama, gaulkan adunan untuk memastikan ia sekata.
Kukus Adunan
  • Adunan digaul selepas 10 minit pertama menggunakan senduk kayu, ini bagi tujuan meratakan proses mengukus.
Gaul dengan senduk kayu
  • Kukus semula selama 15 minit lagi. Setelah adunan separuh masak, masukkan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam dan gula.
kelapa parut
  • Selepas 20 minit, periksa ketewol. Jika masih belum masak sepenuhnya, teruskan mengukus selama tambahan 5 minit.
Ketewol

Ketewol yang telah siap biasanya dihidangkan seperti nasi goreng atau mi goreng. Ia diambil dan diletakkan di atas pinggan untuk dimakan menggunakan tangan, menyerupai cara menikmati nasi. Menurut tradisi masyarakat Jawa, makan dengan tangan memberikan rasa yang lebih nikmat atau “gurih.” Ketewol sering dijadikan pilihan hidangan kuih tradisional, sama ada sebagai sarapan pagi, minum petang, atau minum malam. Rasa lemak manis ketewol menjadikannya lebih enak jika dimakan bersama secawan kopi.

Selamat mencuba!!!

Baca juga artikel:

Artikel oleh Syuriana Ibrahim