Beberapa hari lagi semua rakyat Malaysia bakal menyambut hari kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos bagi mengenang jasa para pejuang yang berhempas pulas sehingga ke titisan darah yang terakhir bagi membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Bagi mengenang jerih paya para pejuang sebelum kemerdekaan, hari ini Min ingin berkongsi makanan tradisi yang menjadi makanan ruji masyarakat terdahulu, iaitu ubi rebus.
Juadah ubi rebus merupakan makanan ruji golongan masyarakat dahulu kala, berikutan isu sekatan bekalan makanan yang mengakibatkan mereka sukar untuk mendapatkan makanan lain terutamanya ketika zaman penjajahan Jepun. Bagi meneruskan kehidupan, mereka menjalani kehidupan seharian dengan makan ubi rebus untuk sarapan pagi dan minum petang bagi bekalan tenaga untuk mengurus kerja sehari-hari.
Kini makanan tradisi kian dilupakan dek revolusi dunia serta pengaruh negara luar yang semakin menebal hari demi hari…
tetapi mujur masih ada warga terdahulu yang masih meminati juadah ubi rebus ini, maka juadah ini masih dapat ditemui di beberapa warung dan restoran yang menghidangkan ubi rebus bersama sambal bilis atau gula sebagai menu sarapan pagi. Sebagai contoh, Restoran Ubi Kayu yang terletak di Subang Jaya.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, sama samalah kita menghargai perjuangan para pejuang terdahulu dan meraikan harga kemerdekaan ini dengan cuba mengalami sendiri keperihan mereka untuk mendapatkan bekalan makanan dengan cuba rasa sendiri makan ubi rebus bersama air kosong.