Makanan Tradisional Melayu Yang Makin Pupus

You are currently viewing Makanan Tradisional Melayu Yang Makin Pupus

Malaysia ni boleh dikira sebuah negara bertuah kerana dilimpahi dengan pelbagai jenis makanan yang sedap yang digemari oleh orang tempatan dan antarabangsa! Malah, Malaysia juga sering digelar sebagai “Syurga Makanan” oleh orang luar yang dah pernah merasai sendiri kelazatan hidangan Melayu.

Makanan tradisional rakyat Malaysia. Sumber: selera1malaysia.com

Sejak zaman berzaman, makanan tradisional yang dulunya dipelihara oleh orang melayu kini kian hilang. Terlalu banyak makanan tradisional yang dah tak dikenali oleh anak muda sekarang, kalau nak senarai semua, panjang ya listnya. Antara faktor yang menyebabkan makanan tradisional makin pupus ialah tiada pendedahan awal dan sikap terlalu mengagungkan makanan luar. Maklumlah, orang zaman sekarang suka sangat ikut trend kan, makanan pun nak try yang trending sahaja. 

Menurut Prof Madya Dr Shahrim Karim, Pakar Makanan Warisan Negara, rakyat Malaysia kurang berbangga dengan makanan warisan sendiri sebaliknya lebih mengagungkan makanan luar sehingga tidak mengetahui nama atau jenis makanan tradisional yang ada. (Sumber: HarianMetro) Korang setuju tak dengan penyataan ni?

Antara makanan tradisional yang dah kian hilang dari budaya makanan orang Malaysia ialah seperti:

  1. Lempeng Kelapa
Lempeng dengan sambal bilis. Sumber: koleksiresepiemak.com

Lempeng ini merupakan antara hidangan tradisional yang selalu dihidangkan pada waktu sarapan atau minum petang. Lempeng kelapa ni biasanya dimasak dengan isi kelapa. Orang yang membesar di kampung mesti biasa makan lempeng ni sebab emak-emak zaman dulu gemar memasak lempeng ni makan pula dengan sambal bilis, kuah kari dan macam-macam lagi! Sekarang lempeng dah kurang mendapat nama tetapi rakyat Malaysia lebih memilih untuk breakfast dengan Pancake. 

2. Ubi Rebus

Ubi rebus. Sumber: namakucell.blogspot.com

Ubi Rebus juga merupakan satu makanan kegemaran orang dulu dulu sebab dikatakan zaman penjajahan jepun, ubi rebus ni adalah makanan ruji orang melayu. Ini kerana agak susah nak dapat beras tau, jadi memang ubi rebus sahaja yang menjadi juadah harian. Ubi rebus ni sedap dimakan dengan ‘nyior’ atau kelapa, sambal tumis, ikan masin. Makan dengan kopi panas pun sedap! Siapa suka Ubi rebus? Sekarang dah takbanyak dijual kan ubi rebus ni?

3. Tapai

Tapai kegemaran generasi lalu. Sumber: harianmetro.com

Ini satu lagi sejenis makanan tradisional yang makin hilang. Tapai adalah berasaskan beras atau makanan berkanji seperti beras putih atau beras pulut. Bergantung atas kaedah pembuatannya, rasa tapai ni manis atau masam tau! Proses biasanya tapai ini dimasak lalu disejukkan pada suhu 30°C. Kemudian ia disimpan dalam balang tertutup selama satu hingga dua hari. Rasa masam itu datang dari proses pemeraman. Malangnya, kalau tanya anak-anak muda sekarang mesti ramai taktahu apa tapai ni.

4. Botok-Botok

Botok-botok. Sumber: Masakanrumah.com

Botok-botok adalah makanan tradisi masyarakat Johor dan Singapura. Sangat terkenal di Johor dan sangat disukai kebanyakkan oleh orang zaman dulu. Generasi sekarang belum tentu kenal botok-botok ni. Rupanya agak sama macam pais ikan yang di sebelah utara Malaysia. Tetapi, kalau pais ikan tu dimasak dengan cara dibakar, botok-botok pula dibungkus dengan daun pisang dan hanya dikukus sahaja. Mengandungi ulam-ulaman kampung seperti pucuk ubi, ulam raja, daun kesum dan sebagainya. 

5. Dodol

Dodol warisan Melayu. Sumber: thestar.com

Yang ini mesti ramai kenal, kan? Dodol ni ialah sejenis pencuci mulut yang terkenal dari Melaka. Pembuatannya agak rumit sebab itu generasi muda kini tak ramai yang mahu membuatnya dan juga tidak mahir. Zaman dulu orang selalu buat dodol beramai-ramai sebab dodol ni kena sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk dapatkan hasil yang kenyal dan lemak manis. Namun, dodol ni masih lagi senang nak jumpa kalau ke kedai-kedai yang menjual makanan tradisi.

Kesimpulannya, makanan tradisi Melayu hendaklah dijaga dan dipelihara supaya generasi muda akan datang pun dapat merasai kepelbagaian hidangan tradisional kita. Sedihlah kan kalau makanan tradisi yang dicipta dan dimakan oleh nenek moyang kita pupus macam tu je.