Nasi Kandar merupakan salah satu hidangan yang sangat digemari oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia dan sangat terkenal di Pulau Pinang. Suatu ketika dahulu Nasi Kandar ini adalah makanan ruji untuk para pekerja buruh dan golongan susah tau!
Nasi kandar ni sebenarnya bermaksud nasi yang dijual diatas kayu penggandar. Kandar berasal dari perkataan Urdu yang bermaksud bahu kerana kalau diikutkan sejarah memang Nasi Kandar ni dijual diatas bahu bahu peniaga. Dahulu, peniaga Nasi Kandar adalah dari kalangan India Muslim (Mamak), akan membawa dua periuk besar yang digantung di hujung kayu pengandar. Satu periuk berisi nasi dan satu lagi berisi lauk gulai ayam atau ikan.
Pelabuhan Weld Quay di Pulau Pinang telah dibangunkan sebagai pelabuhan antarabangsa pada awal abad ke-19. Sebab dari itu, sebilangan besar pendatang bekerja sebagai buruh di pelabuhan tersebut. Pekerja buruh pula mestilah memerlukan makanan yang berpatutan, cepat dan ringkas untuk pembekal tenaga demi kerja yang melelahkan. Bagi mengambil peluang pekerjaan, masyarakat India Muslim (mamak) akan menyajikan hidangan ini di tapak pekerjaan para buruh.
Korang tahu tak harga sepinggan Nasi Kandar cuma 5 sen je dulu? Murah gila kan! Namun, sejak Nasi Kandar mula meluas ke restoran dan gerai gerai di Malaysia pada akhir 1970-an, sekarang Nasi Kandar ada yang mencecah puluhan ringgit kan?
Sekarang ramai yang suka makan Nasi Kandar dengan campuran bermacam-macam jenis lauk juga ada dengan ayam madu, telur sotong dan sebagainya. Menarik kan bagaimana nasi yang pernah dijual dengan harga 5 sen untuk pekerja buruh dan orang susah kini sudah menjadi hidangan yang disantap oleh golongan berada?