Siapa Tak Kenal Nasi Lemak? Inilah Dia Sarapan Popular di Malaysia!

You are currently viewing Siapa Tak Kenal Nasi Lemak? Inilah Dia Sarapan Popular di Malaysia!

Jika bunga raya menjadi bunga kebangsaan Malaysia, nasi lemak pula seharusnya dilabel sebagai makanan kebangsaan negara ini. Sebagai rakyat Malaysia sejati, ramai yang membesar dengan makanan ini sehingga menjadi sajian ruji anda yang wajib dimakan setiap hari, selalunya sebagai sarapan pagi, lengkap bersama secawan teh tarik. Dengan rasa nasi yang lemak dan beraroma yang digaul bersama sambal ikan bilis, telur rebus ataupun telur goreng, kacang goreng dan timun, setiap suapan terasa begitu nikmat sekali sehinggalah ke suapan terakhir.

Sejarah Ringkas Nasi Lemak di Malaysia

Nasi lemak mendapat namanya daripada rasanya itu sendiri yang lemak dan berkrim. Tidak seperti nasi biasa yang ditanak menggunakan air biasa, nasi ini dimasak menggunakan santan. Pada zaman dahulu, ianya akan dimasak di atas api yang sederhana dan perlu sentiasa dipantau bagi mengelakkan santan daripada menjadi hangit. Kini, nasi akan dimasak menggunakan periuk nasi elektrik sahaja. Selain santan, nasi turut dimasak bersama bawang putih, halia dan serai bagi meningkatkan lagi aroma dan rasa nasi tersebut.

Pada zaman dahulu, makanan ini lazimnya dihidang bersama ikan selar kuning goreng, kangkung dan sambal tumis. Kini, ianya dimakan bersama set sambal ikan bilis, kacang tanah goreng, telur rebus, telur mata kerbau dan timun.

anatomi nasi lemak
Sumber: Google (Anatomi Nasi Lemak)

Sejarah Awal Kewujudan Nasi Lemak

Sejarah awal wujudnya nasi lemak dikatakan bermula ketika masyarakat Melayu mula menetap di pinggir pantai. Mereka memaksimumkan penggunaan bahan-bahan yang mudah didapati di kawasan tempat tinggal mereka. Contohnya, santan daripada buah kelapa dipetik dari pokok, kangkung yang banyak tumbuh meliar, dan ikan yang ditangkap di laut. Daun pisang yang digunakan pula, dipercayai dijadikan sebagai bungkusan makanan bagi memudahkan para petani untuk membawa bekal ketika bekerja di bendang.

nasi lemak bungkus
Sumber: Google

Walaupun kini masyarakat Malaysia sudah terbiasa dengan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik, daun pisang masih tetap menjadi bungkusan pilihan. Selain daripada berfungsi sebagai pembungkus, daun pisang juga sebenarnya membuatkan aroma hidangan kegemaran nasional ini menjadi lebih wangi.

Makanan Kegemaran Seluruh Rakyat Malaysia

Jika dahulu nasi lemak lebih biasa dimakan ketika sarapan, tetapi kini, hidangan ini juga menjadi sajian harian yang dimakan ketika waktu tengah hari mahupun makan malam. Meskipun hidangan ini dikatakan ialah makanan tradisional masyarakat Melayu, tetapi kini telah menjadi makanan kegemaran seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

nasi lemak
Sumber: Google

Oleh sebab itu, masyarakat Cina di Malaysia turut mempunyai versi mereka yang tersendiri. Hidangan mereka ada berbeza sedikit daripada yang biasa kerana dimasak menggunakan beras wangi Jasmine. Selain di Malaysia, nasi lemak turut didapati di negara-negara Asia serumpun yang lain seperti Indonesia, Brunei, Vietnam dan juga Thailand. Akan tetapi, versi nasi ini adalah berbeza dan dikenali dengan nama lain.

Untuk semak fakta menarik dan asal-usul nasi minyak pula, silakan klik artikel di sini ya!

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.

Leave a Reply