Selukung: Ketupat Daun Palas Sarawak

You are currently viewing Selukung: Ketupat Daun Palas Sarawak

Mungkin ramai yang mengenali dan pernah merasai umai, pansuh, kelupis dan penyaram tetapi tidak semua pernah mendengar tentang selukung. Seperti ketupat yang diperbuat daripada beras pulut, ia digelar selukung dalam kalangan masyarakat Kayan merupakan makanan tempatan yang boleh diketengahkan terutamanya penggemar makanan tradisional.

Selukung adalah makanan tradisional masyarakat Orang Ulu, kaum Kenyah atau Kayan di pendalaman Sarawak. Ianya diperbuat daripada beras pulut. Beras pulut dimasukkan dalam daun ‘sang’ dan dianyam seperti ketupat. Kemudian, ianya akan direbus sehingga masak. Selukung berbentuk segi tiga seakan ketupat dan dibuat semasa menyambut keramaian. Secara tradisinya, makanan ini dijadikan sebagai bekalan bagi kaum Kenyah apabila ke kebun. Masyarakat Kenyah menyajikan selukung bersama-sama dengan tung ubi. Tung ubi ialah makanan berupa daun ubi yang ditumbuk dan digoreng. Ia amat sesuai dimakan bersama(Syakir, 2017).

Penyediaan Selukung

Menurut Paya Deng dari Kampung Uma Beluvuh, Long Panai di Baram, untuk memasak selukung, pulut tersebut perlu direndam semalaman.

“Terdapat tiga jenis anyaman — segi tiga, segi empat tepat serta kon. Bentuk segi tiga paling biasa kerana ia lebih mudah dan pantas. Manakala untuk rasa yang lebih sedap, kami biasanya memilih daun yang matang.

“Selain itu, selukung yang dimasak menggunakan kayu api lebih sedap berbanding menggunakan dapur. Memandangkan santan tidak digunakan ketika memasak, ia biasanya bertahan selama seminggu jika disimpan di tempat yang kering,” katanya.

Mengenai kemahiran membuat makanan tradisi ini, Paya berkata ia perlu diteruskan oleh generasi muda kerana ia merupakan makanan tradisi turun temurun.

“Dulu, selain pandai memasak, wanita juga perlu pandai membuat selukung. Sejak kecil, kami sudah diajar memasak dan jika tidak mahir, dia belum bersedia untuk berkahwin,” kata wanita berusia 74 tahun itu.

Paya Deng & hasil selukung
Sumber: New Sarawak Tribune (Paya menunjukkan 3 jenis balutan selukung)

Sementara itu, Lohong Jok berkata, makanan ini dahulu hanya dibuat oleh golongan bangsawan terutama ketika berhimpun.

“Kini, ianya boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Justeru, saya berharap generasi muda akan terus membuat masakan tradisional Kayan ini dan memperkenalkannya kepada masyarakat lain.”

Lohong & selukung
Sumber: New Sarawak Tribune (Lohong mengisi beras pulut ke dalam daun ‘sang’)

Seperti beberapa makanan tradisional lain yang melalui beberapa proses pengubahsuaian untuk tujuan komersial, selukung juga boleh melalui proses yang sama untuk menarik perhatian penggemar makanan tradisional seperti dengan mempelbagaikan rasa dan rupa.

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.