Terdapat satu hidangan warisan dari masyarakat Jawa di Sabak Bernam yang terkenal pada tahun 2000-an, iaitu hidangan punten. Ini adalah satu hidangan khas masyarakat Jawa di Sabak Bernam yang unik dan lazat, sering dinikmati pada waktu sarapan pagi atau minum petang bersama sambal hijau pedas dan bilis. Hidangan ini memiliki tekstur yang serupa dengan nasi impit, namun sedikit berbeza dalam penggunaan bahan-bahan seperti santan, garam, dan daun pandan untuk memberikan aroma yang sedap.
Apakah yang membezakan Punten Indonesia dan Sabak Bernam?
Di Blitung atau Tulungagung (Jawa Timur Indonesia), hidangan punten biasanya disajikan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran serta kuah pecel. Di Pacitan (Jawa Timur Indonesia), ianya dimakan bersama dengan sambal tomato, serunding, dan krupuk puli (keropok nasi). Namun, di Sabak Bernam, makanan ini biasanya hanya dihidangkan dengan sambal hijau pedas dan ikan bilis. Punten di Sabak Bernam dikepal dan dibentuk menjadi lonjong atau dipadatkan dalam loyang dan dipotong menjadi bentuk petak sebelum disajikan.
Hidangan ini yang asalnya diperbuat daripada nasi, memberikan rasa kenyang yang tahan lama serta merupakan pilihan yang enak dan praktikal. Dahulu kala, punten menjadi hidangan kegemaran pekebun semasa berkebun. Selain itu, makanan ini juga menjadi pilihan bekalan makanan bagi pelajar yang mengikuti lawatan sekolah atau keluarga yang pergi bercuti jauh. Ia merupakan pilihan yang praktikal kerana mudah disediakan, tahan lama, dan tidak merumitkan semasa penyediaan atau waktu dimakan. Yang lebih penting, punten begitu sedap tanpa perlu dicampur dengan hidangan lain. Hanya dengan sambal sebagai pencicahnya sudah mencukupi.
Kaedah Membuat Punten
Bahan yang digunakan di dalam pembuatan punten adalah beras, santan pekat, santan cair, garam dan daun pandan yang di simpul. Beras dicuci dengan bersih, campurkan semua bahan di dalam periuk dan masak sehingga nasi tanak dan cecair telah mengering. Nasi tersebut dibiarkan sejuk sedikit dan tumbuk nasi tersebut di dalam batu lesung hingga lumat. Ratakan nasi yang telah ditumbuk dan kepalkan nasi sehingga menjadi bentuk bujur. Tekan sini untuk ketahui resepi penuh.
Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.
Klik untuk baca artikel sebelum ini.
Artikel oleh Nor Azhariah Mohamad Nor