Pulut kuning atau lebih dikenali sebagai nasi kunyit, amatlah istimewa dalam budaya masyarakat Melayu, kerana menu ini dianggap sebagai hidangan khas. Hidangan ini adalah pulut yang dimasak dengan kunyit untuk memberikan warna kekuningan yang unik. Lazimnya, disajikan bersama gulai, rendang ayam, atau daging. Kehadiran pulut kuning dalam warisan masakan masyarakat Melayu sangat berharga kerana telah diwarisi dari nenek moyang dengan penekanan pada teknik memasak yang tepat.
Pulut Kuning Sebagai Juadah Istimewa Majlis
Amalan memasak pulut kuning dalam masyarakat adalah amalan tradisi yang sering dikaitkan dengan budaya, ritual dan adat istiadat (Wijaya, 2011). M. Noor (2012) menyatakan bahawa hidangan istimewa orang Melayu adalah pulut kuning kerana ia adalah salah satu hidangan penting untuk kenduri-kendara dan sering disajikan dalam upacara khas orang Melayu seperti berkhatan, khatam Quran, cukur jambul untuk bayi, majlis perkahwinan dan pertunangan. Berikut merupakan beberapa contoh upacara yang sering diadakan oleh masyarakat melayu beserta hidangan warisan ini:
1. Upacara Khatam Al Quran
Menu yang disajikan semasa upacara khatam Al-Quran adalah sebenarnya pulut berwarna kuning yang melambangkan keikhlasan dan penghayatan terhadap ilmu yang telah dipelajari. Secara simboliknya, pulut ini diserahkan oleh Tuan Guru kepada setiap murid yang telah menamatkan bacaan Al-Quran sebagai tanda penyelesaian pembelajaran dan restu untuk mengamalkan ilmu sebagai amalan yang bermanfaat kepada masyarakat.
2. Upacara Perkahwinan
Warna kuning sering kali digunakan sebagai lambang keturunan bangsawan. Semasa menjalani acara tertentu, individu dianggap sebagai “raja sehari” dengan atribut raja yang memakai pakaian berwarna kuning dan menerima layanan yang layak seperti raja atau bangsawan. Ini menggambarkan bahawa perkahwinan merupakan proses penting yang menyatukan dua individu serta meneruskan keturunan keluarga. Dalam adat perkahwinan yang beradab, boleh dilihat bahawa pengantin saling memberi makan satu sama lain sebagai tanda kasih sayang yang kekal sepanjang hayat.
3. Upacara Kelahiran bayi
Di beberapa daerah negeri dalam Malaysia, tradisi menyambut kelahiran bayi masih diamalkan. Salah satu tradisi ini melibatkan kehadiran pulut kuning sebagai sebahagian daripada jamuan. Hidangan tersebut biasanya disajikan dengan gula merah yang dimasak bersama parutan kelapa atau gula merah yang dimasak dengan santan, sebagai simbol dalam upacara tersebut, dan diberikan kepada sanak-saudara. Namun, dengan kemajuan teknologi dan dunia digital, tradisi seperti ini semakin dipinggirkan.
Simbolisme Pulut Kuning
Makna dan peranan makanan dalam majlis kebudayaan Melayu memiliki keunikan tersendiri. Terdapat hidangan yang melambangkan kekuatan hubungan, kesuburan, kegembiraan, kepandaian, dan juga kemodenan. Dalam konteks ini, pulut kuning adalah antara hidangan yang sangat simbolik dan istimewa bagi masyarakat Melayu.
Merujuk kepada Wijaya (2011), pulut kuning disediakan bagi menunjukkan rasa syukur atas pencapaian yang dicapai dan juga menunjukkan rasa terima kasih kepada tetamu atas kehadiran dan kesudian hadir dalam upacara tersebut. Ia juga sebagai lambang penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diterima oleh tuan rumah. Hidangan ini tidak hanya melambangkan upacara tertentu, tetapi juga melambangkan keeratan hubungan sosial antara setiap ahli dalam masyarakat. Jika korang ingin cuba memasak di rumah, boleh klik resepi ini.
Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.
Klik untuk lihat artikel sebelum ini.
Artikel oleh Nor Azhariah Mohamad Nor