Nasi Tumpang: Keunikan Dari Negeri Cik Siti Wan Kembang!

You are currently viewing Nasi Tumpang: Keunikan Dari Negeri Cik Siti Wan Kembang!

Nasi tumpang atau dalam dialek Kelantan ‘Nasi Tupe’ adalah juadah yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang. Ianya dijadikan bekal kepada petani atau nelayan untuk di bawa ke lautan atau kebun kerana nasi ini lambat basi dan tahan lama. Nasi tumpang dibungkus dalam kelonsong berbentuk kon dengan menggunakan daun pisang yang telah dilayur. Dalam kelonsong tersebut, nasi diselang-seli dengan lauk pauk seperti gulai ikan, masak lemak udang, serunding, telur dadar dan timun. Hidangan ini sangat unik kerana ia perlu dimakan ketika waktu sejuk namun kepelbagaian lauk dalam satu kelonsong membuatkan nasi tumpang mempunyai rasa yang tersendiri.

Jom kita semak resepi dan cara pembuatan nasi tersebut!

Bahan-bahan

  • ½ kg beras
  • 1000ml air
  • 6 helai daun pisang

    BAHAN GULAI IKAN
  • 200gm ikan kembung
  • 2.5cm kunyit hidup – dikisar halus
  • 2.5cm lengkuas – dikisar halus
  • 6 ulas bawang merah – dikisar halus
  • 4 biji cili kering – dikisar halus
  • 500ml santan pekat
  • Gula secukup rasa
  • Garam secukup rasa

    BAHAN TELUR DADAR
  • 5 biji telur ayam
  • 1 biji bawang besar – dimayang
  • 50gm daun bawang – dimayang
  • 1 biji cili merah – dimayang
  • Garam secukup rasa

Cara-cara

  • 1. Nasi: Cuci beras hingga bersih dan masak bersama 1000ml air sehingga nasi itu lembut (seperti nasi himpit) kemudian biarkan ia suam. Ketepikan.
  • 2. Gulai ikan: Semua bahan yang dikisar dicampurkan dengan santan, masak sehingga mendidih. Kemudian masukkan ikan biarkan masak.
  • 3. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa. Kacau rata sehingga kuahnya pekat. Ketepikan.
  • 4. Telur dadar: Pecahkan telur dan campurkan bahan yang dimayang dan garam secukup rasa. Pukul sebati. Panaskan kuali dan goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  • 5. Untuk membungkus nasi tumpang: Kelongsongkan daun pisang kemudian masukkan nasi lembik 1/3 kelongsong tadi dan tekan hingga padat.
nasi tumpang
  • 6. Kemudian masukkan hirisan telur dadar. Masukkan satu lapis lagi tekan sehingga padat dan masukkan lagi lauk gulai ikan.
  • 7. Masukkan pula nasi ke atas lauk tadi dan bungkuskan. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.