Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis serunding yang popular di Malaysia, termasuk serunding daging, serunding ayam, serunding kelapa, serunding udang geragau, serunding ikan bilis, dan serunding ikan. Serunding ini disajikan semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Menu ini sering kali dihidangkan bersama ketupat nasi, ketupat pulut, pulut palas, lemang dan pulut kuning. Walau bagaimanapun, kini serunding telah banyak dikomersialkan dan boleh didapati dengan mudah pada hari-hari biasa. Ramai peniaga industri kecil sederhana dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia menceburi bidang pembuatan serunding. Jom kita lihat jenis-jenis yang ada di Malaysia:
1. Serunding Daging
Serunding daging biasanya diperbuat daripada daging lembu atau kerbau, bergantung pada selera orang yang memasaknya. Proses memasak serunding daging memerlukan waktu yang lama, iaitu boleh mencapai 8-10 jam. Waktu memasak bergantung pada jumlahnya juga. Pembuatan serunding daging lebih rumit jikadibandingkan dengan jenis serunding yang lain. Kebiasaannya, bahagian daging yang padat atau bahagian paha menjadi pilihan utama dalam pembuatan serunding daging. Pilihan ini lebih baik daripada menggunakan daging batang pinang yang harganya mahal meskipun dagingnya lebih lembut. Pada zaman dahulu kala, serunding daging hanya disajikan saat musim raya kerana masyarakat kampung pada waktu itu berhadapan dengan kemelut ekonomi. Proses pembuatan serunding daging di kampung sering dilakukan secara gotong-royong dan hasilnya dibahagi bersama, termasuk juga jumlah kos bahan mentah.
2. Serunding Ayam
Serunding ayam sering kali disukai oleh penggemar serunding yang tidak makan daging lembu. Selain daripada orang Melayu, ia juga menjadi pilihan masyarakat India dan Cina di negara ini. Untuk membuat serunding ayam, bahan yang digunakan ialah ayam daging atau ayam pencen (ayam telur). Kebanyakan peniaga serunding secara komersial memilih ayam pencen kerana kosnya yang lebih rendah berbanding ayam daging, walaupun dagingnya lebih liat. Proses membuat serunding ayam biasanya mengambil masa kurang dari 3 jam, bergantung pada jumlah daging ayam yang digunakan.
3. Serunding Ikan
Serunding ikan merupakan salah satu jenis serunding yang awalnya dihasilkan oleh masyarakat Kelantan ketika serunding kelapa diperkenalkan oleh pendatang Jawa dari kerajaan Majapahit. Kebiasaannya, serunding ikan digunakan sebagai bekal oleh orang nelayan ketika mereka pergi ke laut. Ia juga menjadi pilihan popular pada musim tengkujuh pada setiap hujung tahun. Pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk membuat serunding ikan, tetapi ikan kembung atau ikan temenung selalunya menjadi pilihan utama. Proses penyediaan serunding ikan ini lebih pantas daripada serunding ayam. Selain itu, serunding ikan juga kerap digunakan sebagai inti di dalam makanan ringan seperti karipap mini, popia mini, dan sebagainya.
4. Serunding Ikan Bilis
Serunding ikan bilis juga merupakan salah satu jenis serunding yang muncul serentak dengan serunding ikan yang dihasilkan oleh masyarakat Kelantan. Seperti serunding ikan biasa, serunding ikan bilis juga menjadi bekal utama bagi kaum nelayan ketika mereka berlayar ke laut. Ia juga menjadi pilihan popular pada musim tengkujuh setiap tahun. Kebiasaannya, ikan bilis segar menjadi pilihan utama dalam penyediaan serunding ikan bilis. Proses membuat serunding ikan bilis sama seperti serunding ikan biasa. Selain itu, serunding ikan bilis juga sering digunakan sebagai inti dalam pembuatan makanan ringan seperti mini popia, simpulan kasih, dan sebagainya.
5. Serunding Kelapa
Serunding kelapa merupakan salah satu jenis serunding yang diperkenalkan awal ke tanah Melayu oleh orang Jawa. Bahan utamanya adalah kelapa yang diparut tanpa diperah santannya bagi mengekalkan kelembutan dan kekayaan rasa kelapa. Dalam pembuatan serunding kelapa, santan tidak digunakan. Sebaliknya, udang kering atau ikan bilis digunakan sebagai perencah untuk menambah cita rasa. Serunding kelapa sering dihidangkan sebagai pelengkap untuk hidangan seperti lontong, nasi ambeng, dan nasi kerabu.
6. Serunding Udang Geragau
Proses membuat serunding udang geragau sama seperti proses membuat serunding ikan bilis, di mana bahan utamanya adalah udang geragau segar. Serunding udang geragau ini juga kerap dijadikan inti dalam membuat makanan ringan seperti mini popia, simpulan kasih, dan sebagainya.
Untuk melihat cara membuat serunding daging asli, boleh klik resepi ini.
Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.
Klik untuk lihat artikel sebelum ini.
Artikel oleh Nor Azhariah Mohamad Nor