Kelapa sering digelar sebagai tanaman dengan sejuta manfaat, di mana setiap bahagiannya—dari pelepah, batang, daun hingga air kelapa—dapat dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan, termasuk makanan, minuman, bahan binaan, dan perubatan. Malah, hampas kelapa, iaitu sisa santan yang telah diperah, turut mempunyai khasiat tersendiri. Namun kali ini kita akan mengenali dan menelusuri tentang Hampas Kelapa
Manfaat Kesihatan Hampas Kelapa
Berikut merupakan beberapa manfaat kesihatan, antaranya adalah:
- Meningkatkan Fungsi Otak – Membantu memperbaiki fungsi otak dan memperlambat penyakit Alzheimer.
- Mencegah Anemia – Mengandungi zat besi yang menyokong penghasilan sel darah merah.
- Mengurangkan Risiko Kanser – Nutrisi dalam hampas kelapa dapat membantu mencegah kanser usus besar dan prostat.
- Menjaga Kesihatan Pencernaan – Kandungan seratnya yang tinggi berkesan mencegah sembelit dan masalah pencernaan lain.
- Mengawal Gula dan Berat Badan – Tepung hampas kelapa memiliki indeks glisemik rendah dan membantu mengawal berat badan.
- Mengurangkan Kolesterol – Serat dalam hampas kelapa mampu menurunkan kolesterol LDL dan lemak.
Potensi Tepung Hampas Kelapa dalam Kuih Tradisional
Tepung hampas kelapa mempunyai potensi besar sebagai bahan dalam pembuatan kuih tradisional Melayu. Ia boleh menggantikan bahan seperti tepung gandum, menjadikannya alternatif yang lebih sihat tanpa mengubah rasa kuih secara ketara. Contohnya:
1. Kuih Bakar
2. Kuih Badak
3. Kuih Akok
4. Bingka Kelapa
Penggunaan tepung ini juga sesuai untuk inovasi dalam kuih tradisional, mengutamakan aspek kesihatan bagi mereka yang tidak boleh mengambil tepung gandum. Selain itu, ia boleh digunakan dalam produk lain seperti biskut, nuget, atau sebagai bahan asas untuk menghasilkan tekstur yang lebih rangup.
Penggunaan Tepung Hampas Kelapa dalam Apam Balik
Apam balik asli mempunyai warna coklat yang lebih muda berbanding sampel lain. Dari segi tekstur, ketiga-tiga jenis apam balik memiliki bahagian luar yang rangup. Namun, apam balik asli lebih digemari dari segi rasa, diikuti oleh apam balik campuran. Sebaliknya, apam balik yang menggunakan tepung ini sepenuhnya kurang disenangi kerana rasa dan aromanya.
Tepung ini menyerap air dengan banyak dan serat tidak larutnya menjadikan adunan kurang homogen. Oleh itu, mencampurkan tepung hampas kelapa dengan tepung lain seperti tepung beras atau tepung jagung dapat menghasilkan tekstur yang lebih baik dan adunan yang tidak mudah berderai. Penambahan bahan seperti gam xanthan membantu meningkatkan keanjalan adunan.
Dari aspek warna, apam balik yang menggunakan campuran tepung dari kelapa ini dan tepung beras memiliki warna lebih gelap akibat warna semula jadi tepung hampas kelapa. Formulasi tambahan diperlukan untuk memperbaiki warna dan aroma pada masa akan datang agar lebih menarik dan sesuai dengan citarasa pengguna.
Secara keseluruhan, inovasi berasaskan tepung hampas kelapa bukan sahaja mempromosikan pemakanan sihat, tetapi juga berpotensi meningkatkan nilai komersial kuih tradisional dan menyokong kelestarian penggunaan sumber.
Baca juga artikel:
Artikel oleh Syuriana Ibrahim