Sate atau satay adalah salah satu makanan tradisional di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Sate diperbuat daripada daging yang telah dipotong mengikut saiz yang sesuai untuk dijamu para pelanggan yang datang. Ada pelbagai jenis daging yang digunakan untuk membuat makanan yang lazat ini seperti sate ayam, kambing, ikan, kerang dan lain-lain lagi. Sate sememangnya menjadi antara makanan paling popular di negara-negara Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Difahamkan sate berasal dari Jawa, Indonesia sejak dari zaman penjajahan Belanda lagi sekitar awal abad ke-19. Rakyat di Belanda juga turut meminati makanan sate ini kerana dipengaruhi Jawa, Indonesia yang pernah menjadi koloni negara tersebut.
Para pedagang bangsa Arab juga mula meminati makanan sate ini apabila mereka datang untuk berniaga di tanah Jawa pada masa tersebut. Sate daging kambing juga dipercayai dipengaruhi oleh pedagang-pedagang Arab untuk menepati citarasa mereka. Mereka sebenarnya sangat suka makan daging kambing. Justeru itu, mereka mengolah rasa sate pilihan mereka itu kepada perisa daging kambing.
Sejak itu, ada pelbagai lagi jenis sate yang dijual selain dari ayam, daging lembu dan kambing. Ada sate perut, sate arnab, sate burung unta, sate hati, sate ikan, sate rusa, sate itik dan banyak lagi.
Cara pembuatan sate ini adalah agak berbeza untuk setiap daerah bergantung kepada resepi negara masing-masing. Walau bagaimanapun, sate memang sedap dimakan bersama kuah kacang, ketupat, timun dan bawang merah.
Sambal cili kering ada ketikanya diletakkan ke dalam kuah kacang sate untuk menambahkan rasa sate yang sememangnya antara makanan yang paling sedap di Malaysia.