Kalau cakap tentang Roti John di kalangan rakyat Malaysia, sudah tentu hampir semua tahu!
Roti john ialah roti sandwich dengan telur dadar yang merupakan makanan popular di Brunei, Malaysia dan Singapura.
Bahan utama dalam penyediaan roti john termasuk daging cincang, bawang, telur, sos tomato-chili dan roti baguette.
Roti john ini boleh dikatakan antara menu wajib yang perlu ada untuk juadah berbuka puasa.
Tapi, korang tahu tak dari mana datangnya nama ‘Roti John’ ni?
Macam mana ‘Roti John’ diwujudkan?
Terdapat pelbagai versi tentang sejarah roti john ini.
1. ‘John’ merujuk kepada seorang ‘Mat Salleh’
Antaranya adalah, roti john dikatakan mendapat gelaran ‘john’ kerana ianya merujuk kepada seorang lelaki ‘orang putih’ atau ‘Mat Salleh’.
Ini kerana, masyarakat pada zaman dahulu sukar untuk menyebut nama-nama orang putih. Disebabkan itu, cara yang paling mudah adalah dengan memanggil mereka dengan gelaran ‘john’.
Pada zaman 70-an dahulu, masyarakat Melayu menggelarkan tentera British sebagai ‘john’ kerana kebanyakan tentera British ini sangat gemar untuk makan kepingan roti yang disaluti dengan telur dadar dan daging cincang umpama burger ini.
Jadi, penjual roti tersebut pun menggelarkan menu ini sebagai roti john.
2. Roti John dicipta oleh seorang penjaja makanan bernama Shukor
Versi yang kedua pula dikatakan bahawa roti john adalah hasil air tangan yang diciptakan oleh seorang penjaja makanan bernama Shukor yang mempunyai gerai makan.
Di gerai tersebut, Shukor mendapat permintaan daripada tentera British yang memintanya untuk menggoreng telur dadar yang dicampurkan dengan bawang bombay dan diletakkan di antara dua kepingan roti yang menjadikan kombinasi seperti sandwich.
Oleh itu, gelaran ‘john’ tersebut merujuk kepada pelanggannya iaitu orang putih atau ‘Mat Salleh’ yang sering memesan hidangan unik ini.
3. Roti John berasal dari Negeri-Negeri Selat.
Versi yang ketiga pula mengatakan bahawa roti john berasal dari salah sebuah Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Singapura.
Dikatakan pada zaman Negeri-Negeri Selat, pelabuhan Melaka sering dikunjungi kelasi British yang menduduki negeri ini sejak perjanjian Inggeris Belanda 1824.
Mereka ini akan datang membawa ‘roti long john’ yang menyerupai baguette tetapi lebih lembut.
‘Roti long john’ ini dikatakan berasal dari Amerika, melalui imigran Jerman yang suka makan sosej.
Oleh kerana pada masa itu hanya terdapat telur dadar, mereka masak seperti roti bombay (roti dicelup dengan telur), french toast gaya India popular.
Walaupun ada versi tentang kewujudan di sebalik nama roti john ini, tapi yang penting adalah roti john telah menjadi menu hidangan yang istimewa di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam malah juga di Indonesia.
Siapa sangka terdapat banyak versi tentang sejarah roti john ni!
Sambil makan roti john nanti, boleh lah berkongsi pendapat tentang versi-versi kisah roti john dengan keluarga dan rakan-rakan!