Dengan berlalunya masa dan pengaruh sains serta teknologi, tradisi penyediaan pulut kuning dalam acara-acara masyarakat Melayu semakin berkurang walaupun resepi membuatnya adalah ringkas. Namun demikian, modernisasi melalui pendidikan dan gaya hidup tidak sepenuhnya menolak nilai Pulut Kuning sebagai lambang kesyukuran dan penghargaan dalam budaya Melayu. Walaupun amalan penyediaan pulut kuning mungkin berkurang di kalangan generasi muda, ia masih relevan dalam acara-acara masyarakat Melayu hingga kini. Jadi, marilah kita belajar cara-cara membuat pulut kuning menggunakan resepi di bawah ini!
Bahan-bahan:
- 500g beras pulut
- 2 keping asam keping
- 1 sudu besar kunyit serbuk / kunyit hidup 1 -2 cawan santan pekat
- 1 sudu kecil garam
Cara-cara:
1. Basuh beras pulut sehingga bersih dan toskan airnya. Masukkan air, sedikit serbuk kunyit dan kacau sehingga warnanya sama rata. Rendam beras pulut itu selama 1-2 jam bergantung pada jenis beras pulut. Petua orang dulu mengatakan rendamkan beras pulut bersama 2 keping asam keping untuk mendapatkan pulut yang berkilat.
2. Panaskan pengukus, tos beras pulut yang direndam tadi sebelum dimasukkan ke dalam pengukus.
3. Masukkan beras pulut dalam periuk pengukus yang dilapikkan dengan daun pandan. Kegunaan daun pandan dapat memberi keharuman pada pulut tersebut. Kukus sehingga keluar wap di tepi pengukus.
4. Apabila wap mula keluar, angkat keluar pulut tersebut dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Tuangkan santan yang telah diperasakan dengan garam dan gula. Tuangkan sikit demi sedikit, kemudian kacau sehingga rata dan santan menyerap masuk ke dalam pulut. Proses ini dinamakan Arong di sesetengah tempat disebut arun Pulut.
5. Apabila selesai mengarong, kukus sekali lagi sehingga naik wap dan masak. Setelah masak bolehlah tutup api dapur dan masukkan ke dalam mangkuk.
Pulut kuning sememangnya sinonim dengan adat budaya Melayu. Bahkan dinyatakan dalam kajian Azhari Ichlas Siregar (2015), “kalau Melayu adalah pulut kuning dan sebaliknya. Korelasi antara pulut kuning dan budaya Melayu adalah dua hal yang saling terkait dan saling menguatkan satu sama lain, dimana simbol yang terdapat pada pulut kuning merupakan representatif dari kehidupan masyarakat Melayu. Sekiranya bukan orang Melayu yang membuatnya, namanya adalah pulut biasa kerana dinyatakan terdapat petua dan syarat tertentu memasak pulut kuning”.
Untuk mengetahu info lebih lanjut mengenai hidangan khas ini, boleh klik artikel ini.
Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.
Artikel oleh Nor Azhariah Mohamad Nor