Resepi Nasi Kerabu Khas Pantai Timur

You are currently viewing Resepi Nasi Kerabu Khas Pantai Timur

Hi, semua! Jadi seperti yang dijanjikan dalam artikel sebelum ni, min akan kongsikan pada korang resepi Nasi Kerabu Kelantan. Resepi ni min petik daripada Azie Kitchen memandangkan beliau sendiri berasal dari negeri Serambi Mekah tersebut.

Buat pengetahuan semua, ada 2 jenis nasi kerabu disediakan di Kelantan. Yang biasa adalah nasi kerabu putih yang dimakan lengkap dengan kuah tumis. Susunan hidangan nasi kerabu yang biasa adalah dimulai dengan nasi, ulam, sambal kelapa, kuah tumis dan budu. Ada pula versi biru, yang tidak dimakan dengan kuah tumis, sebaliknya hanya dimakan dengan ulam, sambal kelapa dan sambal cili. Di atasnya, diramaskan beberapa keping keropok goreng dan dimakan dengan daging bakar atau telur masin.

Okey, sekarang jom kita semak resepinya kat bawah:

Nasi

Masak beras seperti biasa. Masukkan bunga telang dan kacau kacau bagi rata warnanya, jika mahukan nasi kerabu berwarna biru. Saya hanya memasukkan pewarna biru dan daun limau purut. Jika suka boleh juga masukkan 1 batang serai ketuk.

beras biru

Bahan-bahan (Kuah Tumis):

  • 1/2 kg santan segar pekat
  • 7 biji bawang merah
  • 1/2 labu bawang putih
  • 3 biji bawang besar
  • 15 tangkai cili kering
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai – ketuk
  • 1 keping asam keping
  • 2 sudu besar gula 
  • Sedikit gula melaka
  • 2 sudu besar budu
  • Garam (kena rasa masin dulu)

Cara-cara (Kuah Tumis):

  1. Blend semua bahan di atas kecuali serai diketuk. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk dan serai sehingga wangi. Masukkan sedikit air dan masak sehingga mendidih.
  2. Masukkan santan dan sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul. Masukkan asam keping, budu dan gula. Jika menggunakan budu, dirasakan dulu sebelum dimasukkan garam. Masak sehingga pecah minyak.

Nota: Kuah tumis biar ada rasa masin masin sikit. Kuah tumis sedap disediakan lebih awal dan mesti agak pekat. Kalau makan pagi, disediakan disebelah malamnya.

Bahan-bahan (Sambal Kelapa):

  • 1 ekor ikan kembung – rebus & ambik isi
  • 1/2 biji kelapa parut – goreng
  • 4 biji bawang merah
  • 2 batang serai 
  • Garam
  • Gula 
sambal kelapa
Sumber: Azie Kitchen

Cara-cara (Sambal Kelapa):

  1. Goreng kelapa tanpa minyak dan kacau sentiasa supaya tidak hangit. Kelapa goreng ditumbuk kasar ketika masih panas panas. Tumbuk semua bahan lain dan gaul dengan kelapa goreng.
  2. Tumbuk lagi sekali. Kali ini saya cuma menggaul rata, tak ditumbuk lagi selepas digaul. Masukkan garam dan gula secukupnya.

Bahan-bahan (Ulam-ulaman semua dihiris halus):

  • Kacang panjang
  • Kubis
  • Timun
  • Daun kesum
  • Bunga kantan
  • Bawang besar
  • Kacang botol
  • Taugeh
ulaman
Sumber: Azie Kitchen

Lauk-pauk (Pilih mana-mana yang disukai):

  • Telur masin
  • Ikan rebus goreng celup tepung
  • Daging bakar
  • Daging goreng atau ayam goreng
  • Keropok atau keropok lekor
  • Solok lada
  • Bawang putih jeruk

Cara Menghidang:

  1. Letakkan nasi di dalam pinggan. Masukkan ulam ulaman diikuti dengan sambal kelapa.
  2. Kemudian sendukkan sedikit kuah tumis, budu dan sambal.
  3. Akhir sekali, letakkan keropok dan lauk pauk seperti telur masin, daging bakar, ikan celup tepung, daging goreng dll.
  4. Jika suka letakkan pulak sayuran seperti solok lada, bawang putih jeruk dll.

Selamat mencuba!

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan

Leave a Reply