Makanan warisan merupakan satu produk budaya tempatan yang berperanan dalam memperkenalkan identiti sesebuah masyarakat setempat. Lazimnya makanan warisan ini bergantung kepada nilai dan amalan tradisi yang masih dikekalkan dari satu generasi ke satu generasi. Terdapat pelbagai jenis makanan warisan yang masih dikekalkan oleh komuniti tempatan dalam Malaysia kini, Namun begitu, ramai tidak menyedari makanan warisan mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor.
Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikkan dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca makanan warisan ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan tradisional adalah berasaskan hasil sungai dan hutan kerana kedudukan lokasi pembuatan tersebut terletak berhampiran dengan sungai, sawah padi dan hutan. Antara bahan-bahan semula jadi adalah seperti gula merah, gula melaka, santan, pucuk nipah muda, udang, itik dan daun palas, menjadi bahan asas dalam penyediaan makanan tradisional. Bahan-bahan ini seringkali digunakan dalam pelbagai masakan tradisi dan warisan negara kita.
Makanan Warisan Yang Mungkin Akan Hilang Dan Dilupakan
Beberapa makanan warisan yang mempunyai rupa yang unik, namun sukar disediakan. Berikut adalah beberapa contoh makanan warisan yang dibincangkan:
1. Botok-botok
Botok- botok adalah sejenis makanan tradisi orang Johor. Ia diperbuat daripada isi ikan sama ada ikan tenggiri atau ikan merah yang diperasakan dengan pelbagai rempah ratus sebelum dibungkus menggunakan daun pisang. Setelah dilipat, ianya dikukus sehingga masak. Keistimewaan botok-botok ini adalah baunya yang wangi apabila dibuka semasa dihidang. Rempahnya yang istimewa khabarnya terdiri dari berbagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding. Hanya orang lama yang masih pandai menyediakan botok-botok di Johor.
2. Rendang Pucuk Ubi
Rendang Pucuk Ubi ini merupakan salah satu hidangan yang berasal dari Negeri Sembilan. Ia menggunakan daun-daun kayu serta pucuk ubi yang dimasak kering sehingga daun bertukar menjadi kering dan gelap sebelum dihidangkan. Makanan ini juga sudah semakin sukar ditemui melainkan di Negeri Sembilan. Namun, tidak ramai yang membuatnya kerana proses penyediaannya mengambil masa yang agak lama.
3. Ketupat Beras
Ketupat merupakan salah satu hidangan istimewa yang disajikan semasa perayaan masyarakat Melayu. Ia diperbuat menggunakan beras atau beras pulut yang dibungkus menggunakan daun kelapa dan direbus hingga masak. Selain ketupat daun kelapa, terdapat juga ketupat daun palas yang sangat popular di negeri Pantai Timur dan di sebelah utara. Ketupat palas merupakan ketupat pulut yang dibalut menggunakan daun palas. Cara moden menjimatkan masa berbanding dengan menganyam daun ketupat yang dianggap sukar dan leceh.
4. Tapai
Tapai ialah sejenis penganan yang diperbuat daripada pulut. Terdapat dua jenis tapai, iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap bagi sesetengah orang, kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
5. Kuih Buah Rotan
Kuih buah rotan atau juga dikenali sebagai kuih redan atau keciputan merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang dibuat daripada tepung pulut dan telur. Ia kemudian dibentuk bulat dan disalut dengan bijan sebelum digoreng dengan minyak masak menggunakan api sederhana perlahan sehingga ia kekuningan dan diangkat, sedia untuk dihidangkan. Sekiranya api terlalu perlahan, adunan tersebut mungkin akan menyerap minyak dan tidak garing. Keadaan ini dikenali sebagai kembang minyak. Kuih ini popular di Malaysia suatu ketika dulu dan semakin dilupakan kerana kita dibanjiri oleh pelbagai jenis makanan lain yang lebih menarik minat mereka.
6. Kuih Karas
Kuih karas merupakan sejenis kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras. Ia mempunyai bentuk seperti jaringan halus seperti bihun tetapi rangup dan rasanya manis. Kuih karas ini mempunyai bentuk seperti jala halus yang agak keras dan mempunyai rasa yang manis dan garing. Kuih karas dihasilkan dengan menggunakan adunan tepung beras cair yang dikirai dengan menggunakan acuan khas dalam minyak panas sehingga kuning keemasan. Ia kemudian diangkat dan dilipat dan ianya hanya disebut sebagai kuih orang tua atau kuih orang lama yang mungkin hanya dikenali sekiranya kita melawat makam Mahsuri di Pulau Langkawi. Rasanya yang manis dan pembuatannya yang unik dan sukar menyebabkan sukar untuk dikekalkan dan ditinggalkan.
7. Kuih Cucur Jawa
Kuih cucur jawa atau dikenali juga sebagai penyaram atau penjaram adalah kuih yang diperbuat daripada tepung beras dan amat dikenali di utara Malaysia. Kedah yang popular dengan pelbagai makanan warisan berasaskan padi dan beras. Walaupun namanya cucur jawa namun asal kuih ini tiada kaitan dengan masyarakat berketurunan Jawa mahupun Indonesia. Resipi cucur jawa termasuk tepung beras, tepung gandum, gula merah yang dilarutkan ke dalam air panas. Ia perlu diperam semalaman sebelum digoreng dalam minyak panas satu persatu.
Kesimpulan
Makanan warisan sebenarnya masih dicari oleh sesetengah masyarakat. Oleh demikian, cara pemprosesan, penyediaan, dan peluasannya perlu selalu diketengahkan. Ini penting supaya orang muda masih dapat mengenali dan merasai salah satu warisan turun temurun yang popular satu masa dulu.
Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.
Baca juga artikel:
- Resepi Nasi Ayam Paling Sedap
- ICBS 2024: Menjemput Anda Meneroka Inovasi Kafe di Kuala Lumpur!
- Pameran Kafe & Minuman Antarabangsa (ICBS) 2024 Mencapai Tahap Rekod!
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.