Kuih-muih Warisan Malaysia dari Barat ke Timur

You are currently viewing Kuih-muih Warisan Malaysia dari Barat ke Timur

Di sini korang boleh dapati pelbagai jenis makanan khususnya kuih-muih warisan yang sinonim dengan setiap negeri di Malaysia. Walaupun rata-rata kuih-muih mengguna pakai bahan-bahan yang hampir serupa seperti santan, daun pandan, gula melaka, tepung, keledek dan sebagainya – namun, teknik penyediaan, cara pembentukan dan kepelbagaian resepi menghasilkan ragam kuih-muih dengan rasa, warna, aroma, dan nama yang berbeza. Jadi, marilah kita lihat jenis-jenis kuih tradisional yang menjadi wakil negeri masing-masing!

1. Kuih Gedung Cak – Perlis

Antara kuih tradisional yang mengunakan bahan-bahan tempatan adalah kuih gedong cak, yang kian dilupakan. Kuih ini terdiri daripada tepung pulut, kelapa parut, gula melaka, dan dibalut dengan daun nipah, merupakan salah satu warisan kulinari Perlis yang sukar ditemui sekarang. Kuih ini berasal dari Acheh dan mula dikenalkan oleh pedagang-pedagang Acheh yang menetap di sekitar Kedah dan Perlis. Meskipun jarang dijumpai, beberapa pasar di lokasi seperti Alor Setar, Pekan Rabu, Kuala Muda, Yan, Kuala Perlis, dan Arau masih menawarkan kuih-muih ini. Keenakan dan bahan-bahannya yang mudah diperolehi menjadikan kuih ini tetap popular di bahagian utara Malaysia.

2. Kuih Bunga Pudak – Kedah

kuih bunga pudak
Sumber: Blogspot

Kuih bunga pudak adalah sejenis kuih tradisional yang menjadi warisan masyarakat di negeri Kedah, khususnya di kawasan Alor Setar, Jitra, dan sekitarnya. Diberi nama sempena bunga pokok pudak, kuih ini datang dengan inti kelapa yang manis dan bertekstur lemak. Biasanya, kuih ini boleh didapati di kedai-kedai kuih-muih tradisional di Pekan Rabu, Alor Setar.

3. Kuih Serabai – Pulau Pinang

kuih serabai
Sumber: Facebook

Kuih serabai adalah sejenis kuih tradisional yang dihasilkan daripada campuran tepung beras dan santan. Memiliki warna putih dan bentuk bulat yang khas. Proses memasaknya melibatkan kaedah goreng tohor dan ia memiliki acuannya tersendiri dalam bentuk bulatan. Biasanya disajikan bersama kuah gula yang dihidangkan dengan santan, memberikan rasa lemak manis yang memikat. Selain daripada itu, kuih serabai juga boleh dinikmati dengan kuah durian atau sekaya pandan. Popular dijumpai semasa bulan Ramadan atau majlis kenduri arwah.

4. Kuih Cecemek – Perak

kuih cecemek
Sumber: Orang Perak

Kuih cecemek sering diibaratkan mirip dengan kuih limas atau tepung pelita. Namun, ia mempunyai ciri khas berupa lubang-lubang kecil dan biasanya disajikan di atas daun pisang yang digunakan sebagai alas. Resipi kuih ini melibatkan penggunaan tepung pulut dan sedikit tepung gandum, yang dibentuk bulat kecil dengan lubang di tengah. Proses penyediaan dan bahan-bahan yang digunakan dalam kuih cecemek berbeza dari kuih tradisional lain. Kuih ini amat dinantikan pada bulan Ramadan, menjadikannya sesuatu yang sangat dirindui oleh para penggemarnya.

5. Kuih Bahulu Kemboja – Selangor

bahulu kemboja
Sumber: YouTube

Bahulu kemboja adalah salah satu daripada pelbagai jenis kuih tradisional yang mewakili negeri Selangor. Kesembilan kelopak bahulu kemboja ini mencerminkan sembilan daerah yang terdapat di Selangor, termasuk Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam, dan Sepang. Secara ringkasnya, bahulu kemboja bukan sahaja merupakan hidangan warisan yang penting bagi Selangor, tetapi juga menjadi simbol yang menggambarkan kepelbagaian negeri tersebut. Keistimewaan dan kreativiti bahulu kemboja terletak pada penggunaannya yang mengaplikasikan nilai-nilai Selangor dengan menyertakan kesemua sembilan daerah dalam reka bentuk kelopak kuih tersebut.

6. Apam Johol – Negeri Sembilan

apam johol
Sumber: rasa

Kuih apam johol, juga dikenali sebagai apam daun rambai, merupakan salah satu kuih tradisional Negeri Sembilan yang terkenal dan sering dinikmati sebagai hidangan sarapan atau minum petang. Kuih ini, yang jarang dijumpai, mempunyai beberapa versi dan terkenal di kalangan penduduk tempatan. Dikatakan berasal dari kawasan Johol, nama kuih ini diambil daripada daun rambai yang digunakan sebagai pembungkus semasa proses pembuatannya. Kuih ini berwarna coklat muda dan menggunakan tepung serta gula merah atau gula Melaka yang memberikan aroma unik setelah diadun dengan teliti.

7. Buah Melaka (Onde-Onde) – Melaka

onde-onde
Sumber: YouTube

Onde-onde atau kuih buah Melaka merupakan kuih tradisional dengan rasa yang klasik. Gabungan rasa manis, lemak, dan sedikit masin memberikan kepuasan dalam setiap suapan. Dari segi visual, kuih ini kelihatan seperti bola gebu berwarna hijau yang dilapisi dengan kelapa parut yang mempunyai aroma daun pandan. Bunyi berdecit-decit yang terjadi ketika mengunyah menambah keistimewaan dan kenikmatan menikmati kuih ini.

8. Kacau Keledek – Johor

kacau keledek
Sumber: Facebook

Kacau keledek, dipilih sebagai wakil kuih tradisional negeri Johor. Sering dihidangkan semasa perayaan khas atau di majlis-majlis diraja sebagai hantaran. Kuih ini dibuat menggunakan bahan-bahan utama seperti keledek dan santan. Tambahan pula, gula, garam, esen vanila, telur, dan daun pandan diperlukan untuk menambah rasa dan aroma yang menarik. Keledek mesti direbus sehingga lembut sebelum dicampur dan dimasak bersama bahan-bahan lain. Nama kuih ini berasal dari cara pembuatannya, yang mana ia harus terus dikacau berterusan hingga menjadi kental.

9. Kuih Badak Kubang – Pahang

kuih badak kubang
Sumber: Facebook

Di kawasan Chenor, Pahang, kuih badak kubang dikenali dengan baik. Walaupun terdapat di beberapa kawasan lain di Pahang, kini semakin sukar untuk menemui kuih ini secara meluas. Biasanya ia hanya disajikan dalam majlis tertentu atau ditempah khas. Diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam, kuih ini memiliki inti kelapa yang manis dan disiram dengan kuah santan yang dimasak dengan sedikit garam. Ia mirip dengan kuih koci atau kuih anak dara, tetapi ditampilkan secara unik – disajikan di atas daun pisang yang dipotong bulat dan dimasak menggunakan pinggan logam dengan cara dikukus sehingga masak.

10. Kuih Nekbat – Terengganu

nekbat
Sumber: Iluminasi

Kuih nekbat, makanan pencuci mulut tradisional yang popular di Pantai Timur Malaysia, terutama di Terengganu. Biasanya diperbuat daripada tepung beras dan telur. Kuih nekbat dihidangkan dalam dua fasa yang berbeza. Pada permulaannya, adunan tepung dibakar hingga menjadi gebu seperti bahulu, namun kering dan lebih keras. Setelah dimasak, nekbat disimpan kering atau dijual kepada pelanggan untuk disediakan sebelum disajikan. Nekbat kering ini dapat bertahan lebih lama dan boleh disimpan dalam peti sejuk. Dalam fasa akhir penyediaan, nekbat direndam dalam air gula yang dimasak bersama daun pandan dan cengkih untuk aroma wangi, kemudian dibiarkan sebentar sebelum disajikan dengan kuah air gula.

11. Kuih Jala Mas – Kelantan

Kuih jala mas, yang popular di kalangan masyarakat Kelantan adalah kuih tradisional Melayu yang menawarkan rasa lemak manis. Diperbuat daripada kuning telur yang diurai dan dimasak dalam sirap gula panas. Selepas itu, adunan kuning telur tersebut diuraikan menggunakan acuan khas sehingga membentuk juraian yang menyerupai mi halus. Setelah masak, adunan ini diangkat, disejukkan, dan kemudian disimpan dalam bekas. Kuih jala mas terkenal dengan bentuknya yang unik dan rasanya yang manis dan berlemak.

12. Kuih Selorot – Sarawak

kuih selorot
Sumber: Butterkicap

Kuih selorot adalah sejenis kuih tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat Sarawak. Rasanya yang lemak manis serupa dengan kuih tepung pelita, menjadikan sesiapa yang berkunjung ke Sarawak tidak akan melepas peluang untuk mencuba kuih ini. Kuih ini dikenali dengan pelbagai panggilan seperti jelurut, selurut, clorot, selorot, cerorot, atau celurut. Penggunaan pucuk nipah muda sebagai pembungkus kuih memberikan ciri tersendiri pada kuih ini.

13. Kuih Penyaram – Sabah

kuih penyaram
Sumber: YouTube

Kuih pinjaram, yang juga dikenali sebagai penyaram, adalah sejenis kuih tradisional yang terkenal di Sabah dan Brunei. Ia menjadi kegemaran khas di kalangan masyarakat Bajau di kawasan sekitar Semporna, Sabah. Ramuan utamanya termasuk tepung beras, tepung jagung, santan, dan minyak, sering kali dicampur dengan daun pandan untuk aroma yang lebih wangi.

Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.

Klik untuk baca artikel sebelum ini.

Artikel oleh Nor Azhariah Mohamad Nor

Leave a Reply