Keunikan Nasi Sebagai Hidangan Masakan Warisan Melayu

You are currently viewing Keunikan Nasi Sebagai Hidangan Masakan Warisan Melayu

Negara Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang terkenal dengan kepelbagaian tradisi dan budayanya sejak zaman dahulu kala. Oleh itu, Malaysia sangat dikenali dengan jolokan “syurga makanan” bagi para pelancong dan warga asing yang datang berkunjung ke negara ini. Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji bagi setiap hidangan terutamanya masyarakat Melayu. Hal ini kerana, penghasilan beras daripada tanaman padi adalah komponen penting dalam hidup dan adat resam orang Asia, lebih-lebih lagi dalam sektor pertanian di negeri Kedah dan Perlis. Oleh itu, kita boleh temui pelbagai variasi dan jenis hidangan berasaskan nasi di negara ini.

Asal-Usul Penghasilan Sebutir Nasi

Seperti yang diketahui umum, nasi berasal daripada beras. Beras pula dihasilkan daripada tanaman padi yang meluas terutamanya di negeri Kedah dan Perlis. Hal ini kerana, faktor kesesuaian tanah dan sistem pengairan yang baik di negeri tersebut. Oleh itu, negeri ini sangat terkenal dengan gelaran “Jelapang Padi Malaysia” kerana keluasan sektor pertaniannya.

tanaman padi
Sumber: Google

Bijirin berkanji yang menghasilkan beras berasal daripada tanaman rumput daripada spesis rumput Oryza glaberrima (beras Afrika) atau Oryza sativa (beras Asia) iaitu sejenis tanaman rumput daripada keluarga Poaceae. Hampir separuh daripada populasi dunia termasuk Asia Timur dan Tenggara telah menjadikan beras sebagai sumber karbohidrat yang membekalkan nutrisi penting kepada manusia. Malah, bukan hanya beras putih yang menawarkan nutrisi kepada manusia, tetapi terdapat juga beberapa jenis beras lain seperti beras perang, beras hitam, dan beras merah yang menawarkan kelainan perisa dan nutrisi.

Kepelbagaian Cara Masakan Hidangan Nasi Di Malaysia

Bagi hidangan nasi, kebiasaan masyarakat Melayu akan menggunakan teknik mengukus, menanak dan menumis. Sebagai contoh, nasi dagang yang terkenal di Terengganu menggunakan teknik pengukusan dalam pembuatannya. Selalunya mereka akan mengukus beras bersama santan kelapa dan hirisan bawang. Selain itu, penambahan rempah ratus juga digunakan untuk menaikkan lagi aroma dan rasa sesuatu sajian nasi tersebut. Sebagai contoh, penyediaan nasi minyak yang menggunakan rempah ratus seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan lada putih untuk ditumis bersama minyak sapi, daun pandan, bawang merah dan bawang putih untuk digaul bersama beras yang telah direndam bersama air dan susu cair bagi menaikkan lagi rasa dan bau aroma dalam hidangan.

nasi minyak
Sumber: Facebook

Selain daripada teknik memasak dan olahan bahan, hidangan sampingan dalam sajian juga menjadi tarikan dan membezakan setiap masakan dalam sebuah hidangan nasi. Contohnya, nasi kerabu yang terkenal di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu merupakan hidangan nasi yang biasanya dihidangkan bersama pelbagai jenis lauk sampingan seperti ikan kering atau ayam goreng, daging bakar, telur masin, budu dan ulam-ulaman yang lain. Ianya juga sering dimakan dengan solok lada dan juga keropok goreng.

nasi kerabu
Sumber: Sirap Limau

Kesimpulan

Negara Malaysia merupakan negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik. Ianya telah menjadi tanggungjawab bersama untuk mengekalkan tradisi yang dibawa oleh nenek moyang dari zaman dahulu. Tradisi yang dimaksudkan termasuklah budaya, bahasa, pakaian dan makanan. Kepelbagaian budaya yang berbeza di negara ini telah saling mempengaruhi dan menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik antara satu sama lain.

Sumber rujukan:
eISBN: 978-983-3862-59-7,
Bab Dalam Buku : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu, Siri 1.

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan

Leave a Reply