Siapa sini berdarah Jawa khususnya yang dari Johor? Haa harini min nak kongsikan dengan korang keunikan sedulang nasi ambeng yang digelar sebagai “nasi berkat”. Jom kita semak sama-sama kat bawah ni!
Sejarah nasi ini bermula apabila masyarakat Jawa yang berasal dari Tanah Jawa Indonesia berhijrah ke Tanah Melayu Malaysia sekitar tahun 1890-1900. Kini mereka telah menjadi warga Malaysia. Ianya merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa semasa mengadakan kenduri perkahwinan, kelahiran, doa selamat dan sebagainya.
Nasi ambeng akan dihidangkan di dalam sebuah dulang besar (talam) dengan di lengkapi lauk-pauk asli Jawa. Lauk-pauk itu terdiri daripada serunding kelapa, ikan kering jenis bulu ayam, kacang tanah, sambal goreng (tauhu, tempe, kentang & suhun). Lauk utamanya merupakan ayam masak kicap dan sayuran kacang panjang. Satu hidangan (talam) biasanya untuk keperluan 5-6 orang. Pada majlis kenduri biasanya ia dibahagi rata untuk dibawa pulang oleh tetamu dan dimakan bersama keluarga.
Konsep Nasi Ambeng
Konsep nasi ini amatlah unik dimana ianya menerapkan persepakatan dan perpaduan dalam kekeluargaan dan kemasyarakatan tidak mengira pangkat dan darjat. Tiada beza membeza jenis makanan bagi si miskin atau si kaya. Menurut kepercayaan masyarakat Jawa, nasi ambeng adalah makanan tradisi dan menu dihidangkan akan memberi keberkatan berikutan doa-doa dibacakan di dalam majlis kenduri yang para tetamu hadiri. Kerana itulah ianya diberi gelaran sebagai “nasi berkat”.
Kaedah menyediakan nasi ambeng tidak terlalu rumit dan tidak memerlukan masa lama kerana ia dimasak secara gotong-royong. Dalam bahasa Jawa ianya dipanggil ‘rewang’. Itulah keunikan juadah istimewa ini, melambangkan budaya dan gaya hidup bagi masyarakat Jawa di Malaysia terutama di Selangor, Johor, Melaka, Perak dan beberapa lagi kawasan lain.
Baca juga artikel: Resepi Nasi Dagang Asli Terengganu
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.