Rendang Cili Padi: Permata Kulinari Negeri Sembilan

You are currently viewing Rendang Cili Padi: Permata Kulinari Negeri Sembilan

Rendang di Negeri Sembilan berlainan dengan rendang yang dimasak di negeri-negeri lain kerana rendangnya menggunakan cili padi sahaja dan tidak menggunakan cili kering. Rendang cili padi ini sememangnya sangat enak dan mudah untuk menyediakannya, jika digandakan kepedasannya memang berganda juga keenakannya.

Hidangan ini amat sesuai jika dimakan bersama lemang atau ketupat terutama semasa hari raya. Penyediaan bagi membuat rendang amat mudah, terdapat beberapa jenis bahan yang boleh dibuat rendang. Bahan-bahan tersebut terdiri daripada daging, ayam dan sebagainya. Rendang daging biasanya tidak dicampurkan dengan bahan-bahan sampingan. Namun begitu dalam keadaan tertentu, terdapat juga bahan-bahan seperti nangka, maman dan pucuk ubi. Rendang cili padi ini dimasak sehingga kering dan tidak langsung berkuah (berderai).

Jenis Daging Yang Baik Untuk Membuat Rendang

rendang ayam cili padi
Sumber: Resepi Che Nom

Daging kerbau, ayam, itik, burung, pelanduk, kijang dan rusa adalah contoh-contoh daging yang elok dibuat sebagai bahan utama dalam rendang, kecuali daging lembu. Ini adalah kerana jika menggunakan daging lembu, rendang ini akan menjadi kurang cantik kerana sukar untuk kering di mana dagingnya mempunyai banyak air. Rendang yang dimasak dengan cara yang betul boleh disimpan lama seperti rendang kerbau di Rembau.

Orang lama dahulu di Negeri Sembilan juga pernah menggunakan belalang untuk membuat rendang. Ini adalah kerana belalang senang didapati kerana sawah padi terbentang luas di kawasan perkampungan. Biasanya selepas menuai padi, pesawah akan menangkap belalang yang hinggap di batang padi pada waktu malam. Belalang yang sering ditangkap adalah terdiri belalang sawah seperti belalang beras, belalang minyak dan belalang yang boleh dimakan. Rendang belalang dimasak sehingga belalang tersebut rangup.

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.