Makanan Warisan: Kebaikan & Keburukan

You are currently viewing Makanan Warisan: Kebaikan & Keburukan

KAITAN MAKANAN TRADISIONAL DENGAN KESIHATAN

Makanan tradisional ini juga sering diperkatakan mempunyai pengaruh buruk yang boleh menjejaskan kesihatan kerana bahan asas yang digunakan boleh menyumbang kepada beberapa penyakit seperti kencing manis , darah tinggi dan jantung. Bahan- bahan yang digunakan dalam pembuatan makanan warisan selalunya pelbagai namun bahan asas adalah seperti gula pasir, gula merah, santan kelapa, telur, ubi kayu, keledek, pulut yang jika diambil berlebihan boleh membawa mudarat kepada manusia.

Secara umum, tiada kajian menunjukkan makanan tradisional boleh menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan. Perkara ini disebabkan kebanyakan individu atau anggota masyarakat mengambil makanan tradisional secara berlebihan dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Malah antara faktor lain, adalah masyarakat dahulu mengamalkan cara hidup kerja yang sistematik yang boleh seimbangkan kitaran aktiviti masyarakat. Pertimbangan yang dibuat memperlihat kan pengaruh baik dan buruk memberi satu penekanan yang serius, kerana nilai yang disampaikan memberi pelbagai perspektif terhadap masyarakat sekeliling. Jika lebih kepada kebaikan maka hasilnya lebih baik, jika lebih kepada keburukan satu inisiatif perlu difikirkan supaya perkara ini dapat diselesaikan.

PERKEMBANGAN DALAM BIDANG SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM INDUSTRI MAKANAN

Pelbagai teknologi terkini digunakan bagi memastikan makanan yang terhasil adalah berkualiti tinggi. Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan gabungan pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan kejuruteraan, biologi, kimia, mikrobiologi dan lain-lain, sehingga dapat menghasilkan pelbagai jenis makanan yang baru dan makanan yang sedia ada dengan mutu yang diperbaiki. Bukan itu sahaja, peralatan teknologi juga turut berubah demi untuk membantu pihak industri makanan. Kesemuanya bertujuan bagi memastikan kelestarian makanan yang terhasil adalah mencukupi untuk keperluan manusia, menjamin manusia memperolehi nutrien yang baik dan membantu memanjangkan jangka hayat manusia.

Di samping itu faktor pendidikan yang mementingkan kepada kesihatan yang baik, peningkatan pendapatan dan ekonomi serta berlakunya pertukaran budaya menyebabkan masyarakat hari ini beralih kepada corak pengambilan makanan yang pelbagai rasa. Antara kaedah moden yang popular pada masa ini adalah retort. Ia adalah satu teknologi pemanasan pada tekanan tinggi dalam jangka masa yang tertentu. Teknologi retort banyak digunakan dalam penyediaan makanan sedia dimakan (ready-to-eat food). Secara umum kaedah ini boleh cuba digunakan untuk meningkatkan tempoh jangka hayat makanan.

mesin retot
Sumber: Google (Mesin Retort Saiz Kilang Perintis)

Selain itu, pengawetan makanan merupakan salah satu teknologi yang digunakan oleh manusia sejak zaman dahulu untuk memproses makanan. Pada zaman dahulu, makanan yang berlebihan digaramkan, dikeringkan, diasapkan, atau dijeruk supaya dapat disimpan dengan lebih lama. Kini, terdapat pelbagai teknik pengawetan makanan yang lain seperti penyejukan dan penyejukbekuan, pengeringan, pempasteuran, dan pemanasan yang mungkin tidak bersesuaian dengan penyediaan makanan warisan kita.

Makanan seperti rendang, sambal, dan masak lemak telah pun dijual secara komersial dalam bentuk pes. Namun, makanan seperti kuih-muih melayu masih belum dapat dikomersialkan secara total. Teknik penyediaan kuih-muih melayu masih belum sepenuhnya berjaya diperbuat secara komersial. Kajian yang panjang dan menyeluruh masih diperlukan bagi mengekalkan rasa, rupa bentuk, dan tekstur sesuatu jenis kuih-muih warisan tradisi. Ia memerlukan usaha yang berterusan daripada pelbagai pihak seperti penyelidik dan usahawan makanan. Malah, masyarakat yang merupakan pelanggan yang berpotensi juga memberi impak kepada kelestarian produk makanan warisan.

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.

Leave a Reply