Negeri Kelantan memang cukup terkenal dengan makanan-makanan dan kuih muih yang sedap. Kalau anda bercuti ke Kelantan, jangan lupa untuk mencuba makanan tradisional Kelantan. Dimana namanya banyak yang pelik dan ada juga nama yang mengerikan tetapi rasanya sedap. Salah satunya adalah Etok Salai. Makanan ini sangat ‘rare’ namun tidak susah untuk menjumpainya di negeri pantai timur itu.
Etok Salai
Etok, adalah sejenis kerang air tawar atau nama saintifiknya Corbiculacea. Makanan ini dimasak dengan garam dan serai. Sebenarnya, terdapat banyak cara memasak etok dan gaya tradisional Kelantan ialah “salai”. Ia bermaksud kerang akan dibersihkan dan diperap dengan beberapa rempah seperti serai, halia, bawang putih dan lain-lain.
Etok Salai sering dihidangkan sebagai snek, terutama ketika menonton TV atau berkelah dengan santai. Etok dipercayai mempunyai manfaat kesihatan yang ketara kerana ia menyumbang kepada pengayaan darah serta menjadi organisma bersih yang terutamanya memakan alga hijau. Namun begitu, rakan-rakan penikmat dan penggemar Etok Salai ini menasihatkan agar tidak terus minum air (terutamanya air sejuk), sejurus selepas mengambil Etok, kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut.
Kebanyakan orang yang tinggal berhampiran sungai atau kampung, mampu menjana pendapatan dengan menjual etok. Pada asalnya, mereka hanya menjual Etok dengan perisa ‘original’ atau asli. Kini makanan tersebut telah diimprovisasi oleh peniaga-peniaga etok dan mereka menjual empat jenis etok salai seperti perisa pedas, asli, manis dan tomyam tetapi yang paling popular adalah perisa original dan tomyam.
Secara keseluruhannya, Etok Salai ini merupakan makanan tradisional Kelantan yang sangat digemari oleh rakyat Kelantan sendiri. Walaupun cara penyediaannya sedikit sukar dan memakan masa. Pada masa kini, makanan ini mungkin sudah dikenali dan berkembang di beberapa tempat di Malaysia. Apa tunggu lagi? Jom lah kita cuba rasa sendiri Etok ini.
Baca juga artikel:
Artikel ditulis oleh Syuriana Ibrahim