Masakan Tradisional Melayu Berasaskan Nasi & Pulut (Part 3)

You are currently viewing Masakan Tradisional Melayu Berasaskan Nasi & Pulut (Part 3)

Hai, semua! Dalam artikel sebelum ni, min dah kongsikan pada korang 4 jenis makanan makanan tradisional masyarakat Melayu berasaskan nasi kan? Jadi seperti yang dijanjikan, kali ni min akan senaraikan pulak 4 jenis makanan tradisional berasaskan pulut.

Jom kita semak!

Makanan Berasaskan Pulut

1. Lemang

lemang dari pulut
Sumber: Google

Lemang adalah juadah istimewa di pagi Hari Raya. Ia melambangkan ikatan erat sesama ahli keluarga kerana ia dimasak bersama-sama. Bukan mudah untuk menyediakan lemang. Hal ini demikian, ia memerlukan teknik membakar yang betul agar lemang nanti tidak mudah hangit dan masak sekata. Ia perlu dipusing dan memerlukan penelitian agar lemang tidak berkerak, jika tidak lemang tidak masak tetapi sebahagiannya telah berkerak dan keras. Lemang sangat unik kerana ia dimasak dalam buluh. Bentuknya yang silinder dan mempunyai tekstur yang melekit seperti pulut kerana penggunaan santan yang banyak. Lemang berwarna putih dan dihidangkan bersama-sama rendang, kuah kacang, lodeh atau serunding.

2. Kelupis

kelupis dari pulut
Sumber: Google

Kelupis adalah makanan tradisional masyarakat Sabah dan Sarawak namun ia dipengaruhi dari negara Brunei. Ianya mula diperkenalkan oleh etnik Brunei yang tinggal di Sabah (Mohd, 2016). Ia seakan ketupat tetapi berbentuk leper seperti lepat. Ianya nampak hampir sama dengan burasak, tetapi kelupis menggunakan beras pulut manakala burasak menggunakan beras biasa. Kelupis sangat wangi kerana ia dibalut menggunakan daun irik dan dimasak bersama-sama daun pandan. Hidangan ini adalah pelengkap kepada sesuatu majlis. Tanpa kelupis, sesuatu majlis itu tidak sempurna. Kelupis biasanya akan dihidang bersama kuah kacang, ayam masak merah atau rendang.

3. Pulut Kuning

pulut kuning
Sumber: Google

Pulut kuning simbolik kepada adat Aidil, W. (2011) dan ritual (Noor, Zakaria, Shahril, Hadi, & Zahari, 2013). Ini kerana, pulut kuning akan dihidangkan bagi upacara menyembah ancak untuk santapan makhluk ghaib semasa proses ritual keagamaan. Semasa upacara ancak, masyarakat zaman dahulu menghidangkan pulut kuning bersama ayam panggang atau ayam golek. Mereka percaya, makhluk ghaib akan menjamu selera dan tidak akan mengganggu penduduk kampung tersebut. Namun kini upacara itu sudah dihapuskan kerana ia adalah khurafat, Selain itu, ianya juga simbolik kepada kekayaan kerana ia berwarna kuning seakan warna emas.

Pada asalnya pulut kuning adalah hidangan di raja. Apabila majlis keraian dijalankan, raja akan memberi keizinan kepada rakyat jelata untuk menikmati kebesaran dari istana. Ini menunjukkan raja menitik beratkan kemakmuran negara dengan berkongsi santapan di raja. Masyarakat zaman dahulu juga menjadikan pulut kuning sebagai salah satu hantaran dalam majlis perkahwinan (Aishah@Eshah, H. M., Sulong, M. & Haziyah, H., 2010). Bunga telur akan dicucuk pada pulut kuning dan hanya tetamu kehormat sahaja atau saudara mara terdekat yang diberi bunga telur tersebut. Walaupun proses mengukusnya agak renyah, namun sehingga sekarang, pulut kuning masih menjadi hidangan utama dalam sesuatu majlis masyarakat Melayu.

4. Selukung

selukung dari pulut
Sumber: Google

Selukung adalah makanan tradisional masayarakat Orang Ulu, kaum Kenyah di pendalaman Sarawak. Ia mendapat nama daripada daun selukung. Selukung diperbuat daripada beras pulut. Beras pulut dimasukkan dalam daun selukung dan dianyam seperti ketupat. Kemudian, selukung akan direbus sehingga masak. Selukung berbentuk segi tiga seakan ketupat dan dibuat semasa menyambut keramaian. Secara tradisinya, selukung dijadikan sebagai bekalan bagi kaum Kenyah apabila ke kebun. Masyarakat Kenyah menyajikan selukung bersama-sama dengan tung ubi. Tung ubi ialah makanan berupa daun ubi yang ditumbuk dan digoreng. Ia amat sesuai dimakan bersama selukung (Syakir, 2017).

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.

Leave a Reply