Nasi Dagang merupakan makanan tradisional yang sangat popular di Malaysia lebih-lebih lagi di Terengganu dan Kelantan. Masyarakat di Pantai Timur selalunya makan nasi ni waktu bersarapan sebagai pembuka selera.
Sebenarnya, ada beberapa teori berkaitan sejarah penamaan nasi ini. Min akan tuliskan tiga teori yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Jom semak!
Teori Pertama:
Mengikut cerita orang tua-tua dulu, Nasi Dagang ni dicipta dari orang Bugis yang datang ke Pantai Timur untuk berdagang. Dah memang adat orang Melayu kan sediakan beberapa jenis juadah bila tiba Aidil Fitri, jadi orang zaman dahulu kala akan memasak dan membawa juadah-juadah tersebut ke istana. Atas dasar rasa tanggungjawab, orang Bugis yang berada di kalangan melayu di Pantai Timur juga turut membantu menyediakan hidangan istimewa untuk dihantar ke istana. Dikabarkan, Sultan amat suka akan masakan orang Bugis lalu Sultan menamakannya Nasi Dagang sempena mereka yang datang berdagang.
Teori Kedua:
Teori kedua pula dicipta oleh Puteri Saadong iaitu anak kepada Raja Loyor. Cerita ini bermula dengan Puteri Saadong yang dikatakan diculik oleh Raja Siam. Kemudian, Raja Siam menghidap penyakit yang misteri yang tak dapat diubati. Lalu, Puteri Saadong pula menawarkan pertolongan dengan syarat kalau Raja Siam sembuh, dia perlu dihantar balik ke Kelantan. Nak dijadikan cerita, menjadilah ubatan Puteri Saadong dan dia dihantar pulang. Dalam perjalanan pulang ke Kelantan, bekalan makanan mereka habis dan hanya tinggal sedikit lebihan bahan yang ada seperti beras, santan dan sebagainya. Dengan hanya menggunakan bahan-bahan tersebut, Puteri Saadong menghasilkan masakan yang kini digelar Nasi Dagang.
Teori Ketiga:
Akhir sekali adalah kisah Nasi Dagang yang datang dari Terengganu. Cerita tentang Nasi Dagang di Terengganu ni dikaitkan dengan para nelayan sebab waktu itu kerja nelayan ni merupakan sumber pendapatan utama. Ringkas je ceritanya, komuniti nelayan pada waktu itu dibekalkan dengan Nasi Dagang sebagai bekalan makanan di lautan tu. Nasi yang dimasak dengan santan dan dimakan dengan kuah gulai ikan ni dimasak bertujuan untuk bagi tenaga untuk mereka bertahan bekerja di bawah terik matahari.
Kesemua teori yang min kongsikan di atas berasal daripada cerita orang-orang tua zaman dulu kala yang diturunkan ke setiap generasi. Sebab itulah sampai sekarang, kita masih kurang pasti dari mana asal-usul sebenar nasi dagang ni. Tapi apapun, nasi ini tetap menjadi simbol makanan tradisi Terengganu dan Kelantan sejak berkurun lagi sehinggalah sekarang.
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.