Keju bukan lagi sesuatu yang asing dalam dapur rakyat Malaysia. Sama ada dalam hidangan tempatan atau fusion, makanan ini sering menjadi bahan utama yang menaikkan rasa dan menjadikan masakan lebih istimewa. Ia menawarkan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk menjadi sumber protein yang baik untuk otot dan kalsium untuk tulang dan gigi. Ia juga kaya dengan vitamin A, B12, dan D, yang menyokong kesihatan mata dan sistem imun. Selain itu, ia mengandungi lemak sihat yang baik untuk jantung dan probiotik yang membantu pencernaan. Walau bagaimanapun, disebabkan kandungan kalori dan lemak yang tinggi, ia harus dimakan secara sederhana.
Berikut adalah tiga jenis keju yang paling terkenal di Malaysia dan bagaimana anda boleh memanfaatkannya dalam pelbagai masakan:
1. Mozzarella

Mozzarella terkenal dengan ciri khasnya yang boleh meregang panjang apabila cair. Teksturnya yang kenyal dan rasa lembut menjadikan mozzarella pilihan utama dalam hidangan seperti piza, lasagna, dan roti keju. Ia juga sangat sesuai untuk masakan yang memerlukan keju cair sebagai elemen utama.
2. Keju Cheddar

Cheddar adalah keju keras yang kaya dengan rasa berkrim. Ia mudah dikenali melalui warna kekuningannya yang ikonik. Cheddar sering digunakan dalam pelbagai masakan kerana rasa yang boleh disesuaikan, dari lembut untuk kanak-kanak hingga tajam untuk penggemar yang tegar. Cheddar boleh ditemui dalam masakan Macaroni and Cheese, burger homemade, Popia cheddar rangup dan yang paling popular di Malaysia iaitu Pisang Goreng ‘Cheese’.
3. Parmesan

Keju yang satu ini diperbuat daripada susu lembu dan sering digunakan sebagai serbuk. Rasanya yang masin, gurih, dan sedikit tajam menjadikannya sesuai sebagai hiasan atau perasa tambahan dalam masakan. Ia bukan sahaja meningkatkan rasa tetapi juga memberi aroma yang menggoda. Cara terbaik menggunakan Parmesan ialah Spaghetti Carbonara, Caesar Salad, Sup Krim Cendawan
Mozzarella, cheddar, dan parmesan bukan sahaja meningkatkan keunikan rasa masakan tetapi juga memberi peluang untuk kita bereksperimen dengan pelbagai hidangan. Jadi, apa kata cuba salah satu resipi di atas dan rasai sendiri keajaiban keju dalam masakan anda!
Baca juga artikel:
- Kacang Botol: Rahsia Sayuran Unik, Boleh Dimakan Sejuta Cara
- Kebaikan Dan Manfaat Kacang: Si Kecil Yang Penuh Nutrisi!!
Artikel oleh Syuriana Ibrahim