Memasak Berikan Kekuatan Chef Ili Melawan PCOS

  • Post author:
  • Post category:Makan / Moden
  • Reading time:6 mins read
You are currently viewing Memasak Berikan Kekuatan Chef Ili Melawan PCOS

Sebelum ni min dah ada tulis pasal seorang chef Malaysia di Asian Food Network iaitu Chef Anis Nabilah. Hari ni, min nak share pasal kawan dia pulak, terkenal dengan rancangan Diari Mangkuk Tingkat Bersama Ili iaitu Chef Ili Sulaiman. Banyak cabaran yang beliau lalui, dengan bisnes la, PCOS lagi. Min rasa boleh dijadikan inspirasi untuk semua.

Latar Belakang

Chef Ili yang datang daripada keluarga kacukan Cina dan Sri Lanka mula berjinak-jinak memasak sejak berumur 7 tahun setelah diajar oleh nenek beliau dari keluarga ayah dan juga keluarga ibu. Walaupun mempunyai lulusan perniagaan dari London, beliau mula tertarik untuk fokus ke bidang makanan sejak bekerja di sebuah restoran fine dining, Mosimann. Dari situ, beliau banyak belajar tentang perniagaan industri f&b dan bidang kulinari profesional. Beliau juga menjadi sebahagian daripada kru katering yang di majlis perkahwinan Putera William dan Kate Middleton pada tahun 2011.

Sumber: Dish by Ili

Beliau juga banyak melancong ke luar negara, mempelajari budaya lain dan sekaligus membuka mata dan minda tentang cara masakan dari etnik berlainan. Beliau mula mengambil langkah serius untuk menceburi bidang makanan setelah diberi sokongan oleh sahabat yang ketika itu sedang menghidap kanser tahap 4. Ketika itu beliau menyertai program Teach for Malaysia. Tetapi dorongan sahabatnya menjadi motivasi yang diperlukan untuk membuka bisnes katering sendiri – servis penghantaran makanan di dalam mangkuk tingkat. Beliau mendapat inspirasi daripada jiran beliau yang memberikan makanan menggunakan mangkuk tingkat. Beliau juga berkongsi langkah pertama dalam perniagaan di YouTube channel beliau.

Sumber: Poskod

Permulaan dengan Asian Food Network

Perniagaan beliau merupakan langkah pertama untuk rancangan masakan beliau Diari Mangkuk Tingkat Bersama Ili. Rancangan itu juga membawa Ili ke mata dunia setelah memenangi Food Hero Asia dan mempunyai platform yang lebih luas bawah Asian Food Network. Di situ beliau juga menjadi tetamu jemputan ke rancangan masakan terkenal Inspired with Anna Olson dan Confucius was a Foodie.

Beliau juga mempunyai rancangan masakan yang lain seperti Home Cooked: Malaysia, Family Feast with Ili dan By the Sea with Ili. Beliau juga mempunyai rancangan di TV Okey pada tahun 2019 iaitu Belanga Kacukan yang menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Keith Foo, Zizi Kirana, Josiah Hogan dan Liyana Jasmay. Personaliti Chef Ili yang ceria dan peramah telah berjaya menambat hati penonton.

Sumber: Gempak

Beliau juga ada menulis buku resipi dan berkolaborasi dengan banyak jenama terkenal. Beliau juga mempunyai kontrak dengan syarikat induk baru Asian Food Network iaitu Discovery dan mempunyai laman sesawang sendiri iaitu Dish by Ili di mana beliau berkongsi resipi, gaya hidup sihat dan travel blog.

Agak Agak Initiative

Tetapi, beliau mempunyai cita-cita untuk berniaga. Beliau dan beberapa orang rakan, Basira Yeusuff dan Nizam Rosli, membina Agak Agak Initiative untuk membantu dan memperkasakan golongan berpendapatan rendah untuk belajar tentang industri makanan. Namun begitu, kerana COVID melanda dunia, Agak Agak Initiative pun terkubur begitu sahaja. Tetapi Chef Ili tidak berputus asa dan kekal positif.

Sumber: Prestige

PCOS

Pada tahun 2018, beliau telah disahkan menghidap polycystic ovary syndrom (PCOS). Walaupun ditimpa dugaan tersebut, beliau berjaya menghadapinya dengan mendapat rawatan, sokongan yang tersayang serta memasak dan terus memasak. Kesakitan tidak menghalang beliau untuk meneruskan karier dan menjadi seorang ibu.

Sumber: Instagram

Beliau kini mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan sering berkongsi rutin harian dengan bersenam dan memasak masakan harian yang menyihatkan. Beliau juga mengamalkan diet gluten-free dan lebih menjaga pemakanan untuk kesihatan diri dan anak.

Sumber: Discover KL

Sifat optimis dan ketabahan Chef Ili Sulaiman boleh kita contohi. Walaupun beliau menghadapi banyak dugaan dari segi karier, perniagaan dan kesihatan, semua itu tidak menghalang beliau untuk terus maju. Kini beliau membuka perniagaan Ili Pot iaitu servis penghantaran hotpot & steamboat ke rumah. Supaya pelanggan boleh menikmati hotpot dan steamboat di rumah masing-masing dengan selesa tanpa perlu risau tentang had masa dan pembaziran.

Nak tahu lebih lanjut tentang Chef Ili, boleh follow beliau di Instagram.

Artikel ini ditulis oleh Sarah Nabilah.