Negeri Kedah merupakan negeri yang terletak di utara Malaysia. Menariknya negeri kedah ini, rata-rata kawasannya terdapat kawasan sawah padi yang cantik dan luas. Sehingga negeri ini mendapat julukan negeri jelapang padi. Di Kedah terdapat juga banyak jenis makanan termasuk makanan harian dan juga kuih muih. Kuih muih tradisional yang terdapat di Kedah ini juga banyak yang ‘rare’ dan juga sedap. Apa kata kita cuba kenali jenis-jenis kuih tersebut.
1. Coq Peneram
Kuih ini dipanggil Coq Peneram, namun ada juga yang tidak sinonim dengan kuih ini bila disebut coq peneram. Nama lain bagi kuih ialah kuih telinga kelin, peneram, denderam, deram dan banyak lagi. Kuihnya berbentuk seakan kuih keria, tetapi lebih kecil dengan warna coklat kehitaman. Bahan utama kuih ini adalah tepung beras dan gula merah. Coq peneram yang bagus adalah bila ia rangup di luar dan teksturnya yang gebu di dalam. Adunan bahan-bahan ini perlu diuli dan direhat dengan betul kerana ia akan menghasilkan kuih yang sedap dan tahan lama. Kuih ini sesuai dimakan ketika hidangan minum petang.
2. Kuih Bunga Pudak
Kuih ini dinamakan sempena nama bunga Pokok Pudak. Ia mempunyai kelapa manis dan rasanya yang berlemak. Kuih Bunga Pudak ini adalah kuih tradisi warisan asli masyarakat di negeri Kedah terutamanya di kawasan Alor Setar, Jitra serta kawasan sekitarnya. Kuih ini banyak dijual di kedai kuih tradisi di Pekan Rabu, Alor Setar. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat kuih ini agak mudah didapati, namun begitu cara pembuatannya memerlukan kemahiran tinggi. Oleh sebab itu, tidak ramai yang mahir membuat kuih bunga pudak ini. Kuih ini sangat sedap bila dimakan panas-panas.
3. Kuih Dangai
Kuih dangai ini merupakan antara kuih yang amat popular di negeri Kedah. Ia juga merupakan kuih tradisional Kedah. Ia tetap mendapat sambutan ramai sehingga ke hari ini seiring dengan kuih moden yang lain. Bahan yang digunakan juga cukup senang, antaranya tepung pulut, kelapa, garam dan gula. Dangai dibakar menggunakan acuan khasnya dan sangat mudah untuk dihasilkan. Kuih dangai mempunyai rasa lemak manis yang membuatkan ramai orang meminati rasanya. Kuih ini boleh dibeli di pasar malam mahupun pasar pagi.
Kesimpulannya, makanan atau kuih tradisional Kedah sungguh enak walaupun kadang-kadang namanya agak pelik. Sekalipun arus permodenan makin berkembang, janganlah kita lupakan tradisi yang diwariskan.
Baca juga artikel:
Artikel oleh Syuriana Ibrahim