MAKANAN NEGERI SEMBILAN
Negeri Sembilan juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus adalah sebuah negeri yang terletak di pantai barat. Masyarakat Negeri Sembilan merupakan perantau asal Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia yang telah tiba sejak abad ke-14. Kemudian masyarakat yang bermukim pada sembilan (9) negeri seperti Johol, Jelebu, Klang, Sungei Ujong, Naning, Rembau, Jelai, Segamat dan Pasir Besar membentuk persekutuan yang disebut lembaga dan dinamakan Negeri Sembilan.
Masyarakat di Negeri Sembilan banyak menggunakan santan dan cili sebagai bahan terpenting dalam penyediaan masakan mereka. Mereka juga mempunyai identiti masakan salai. Ayam, ikan, itik dan daging di salai menggunakan kaedah tradisional di mana bahan utama tadi di salai menggunakan kayu api dan tempurung. Kaedah ini dapat mengekalkan aroma daripada asap salai. Proses salai mengambil masa yang agak lama lebih kurang 4 hingga 6 jam kerana ia menggunakan bara api. Bara yang digunakan pula tidak boleh terlalu panas kerana dikhuatiri bahan yang disalai menjadi kering.
MASAKAN TRADISIONAL PAHANG
Tempoyak sangat popular di negeri Pahang dan Perak, malah di daerah Temerloh, Pahang, gulai ikan patin masak tempoyak sangat popular di sana. Salah satu cara masakan menggunakan tempoyak ialah gulai tempoyak. Nama sahaja gulai tetapi tidak menggunakan santan. Gulai ini biasanya dimasak bersama ikan, antara ikan-ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin, ikan baung & ikan jelawat (ikan sungai).
Bahan utama untuk membuat ikan patin tempoyak adalah dibuat daripada isi buah durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam dan disimpan selama tiga hingga lima hari dalam suhu bilik untuk proses penapaian. Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi selalunya dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin, sambal tumis ikan bilis, pais tempoyak (ikan yang dibakar bersama tempoyak), sambal tempoyak (tempoyak yang digaul bersama cili padi kemudian dimakan begitu sahaja atau digoreng bersama ikan bilis). Namun, ianya juga boleh dimasak bersama ayam bergantung kepada selera masing-masing.
Baca juga artikel:
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.