Hai, korang! So, sempena hari puasa ke-15 ni, min akan kongsikan resepi Ayam Ros & Kacang Buncis Goreng Telur versi KA. Menu ni sesuai kalau korang nak jadikan sebagai menu di pagi raya jugak tau!
Tapi sebelum tu, kalau korang belum tengok lagi resepi Egg Drop Soup, meh tengok kat sini. Sekarang, jom kita semak resepi Ayam Ros & Kacang Buncis Goreng Telur ni kat bawah.
MENU: AYAM ROS & KACANG BUNCIS GORENG TELUR
Masa penyediaan: 20 minit
Masa memasak: 20 minit
Jumlah hidangan: 4-5 orang
Bahan-bahan (Ayam Ros):
- 1 ekor ayam
- Garam
- Serbuk perasa
- Serbuk kunyit
- Rempah 4 sekawan
- 2 helai daun pandan
- 2 batang serai (diketuk)
- 3 bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- Halia
- 1 biji tomato
- 2 sudu besar cili kisar
- 4 sudu besar tomato puree
- 1/2 sudu kecil jintan manis
- 1/2 sudu kecil jintan putih
- 1 blok kecil gula melaka
- Susu cair
Bahan-bahan (Kacang Buncis Goreng Telur):
- Kacang buncis (dipotong serong)
- 1/2 bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- Cili merah
- Sos tiram
- Serbuk perasa
- 2 biji telur
Cara-cara (Ayam Ros):
- 1. Pertama sekali, gaulkan ayam bersama dengan garam dan serbuk kunyit secukupnya. Kemudian, goreng ayam tersebut di dalam minyak panas sehingga keperangan.
- 2. Selepas itu, tumiskan rempah 4 sekawan, daun pandan dan serai yang sudah diketuk bersama dengan bahan kisar (bawang merah, bawang putih dan halia sebesar ibu jari).
- 3. Seterusnya, masukkan 1 biji tomato yang sudah dibelah dan cili kisar. Kemudian, gaulkan sehingga sebati. Jika terlalu kering, masukkan sedikit air dan tumis sehingga pecah minyak.
- 4. Masukkan tomato puree, jintan manis, jintan putih, gula melaka dan serbuk perasa secukupnya. Kemudian, kacau hingga semuanya sebati dan gula melaka cair. Barulah masukkan ayam yang telah digoreng tadi.
- 5. Kacau hingga rata. Selepas itu, tambahkan sikit saja susu cair untuk mengimbangi rasa dan memberi rasa lemak pada lauk tersebut. Selepas digaul sedikit lagi, ianya siap untuk dihidang!
Cara-cara (Kacang Buncis Goreng Telur):
- 1. Untuk lauk seterusnya sangatlah mudah. Potong serong semua kacang buncis yang telah dicuci.
- 2. Kemudian, tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau. Masukkan cili merah dan kacang buncis yang telah dipotong tadi. Kemudian, tambahkan 1 sudu besar sos tiram dan serbuk perasa secukupnya.
- 3. Asingkan kacang buncis ke tepi, tambahkan 2 biji telur dan masak seketika di tepi. Kemudian, barulah gaul rata semuanya dan ianya siap untuk dihidang!
Video penuh dari Tiktok KA: Resepi Ayam Ros & Kacang Buncis Goreng Telur