Setiap negeri di Malaysia mesti ada makanan tradisional tersendiri, betul tak?
Nasi Kerabu memang amat popular di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di Pantai Timur tetapi ramai tidak tahu tentang asal usul Nasi Kerabu ini. Ada yang kata dari Kelantan, Terengganu dan ada juga yang berpendapat bahawa ia berasal dari Thailand?
Asal Usul Nasi Kerabu
Nasi Kerabu dikabarkan berasal dari Kelantan, dari kalangan Peranakan pada abad ke-15. Peranakan Kelantan adalah kumpulan etnik yang terdiri dari tiga budaya iaitu Melayu Kelantan, Thailand dan Cina.
Nasi Kerabu yang kaya dengan pelbagai perisa adalah hidangan yang mempunyai kombinasi rasa yang pengaruhnya dari orang Thailand, Cina dan juga Melayu sehingga menyebabkan timbulnya beberapa teori tentang asal usulnya.
Walau dari manapun asal Nasi Kerabu tidaklah penting, yang paling penting adalah rasanya yang unik dan sedap, kan?
Apa itu Nasi Kerabu?
Nasi Kerabu ialah satu hidangan tradisional unik yang mana nasinya berwarna biru dan dimeriahkan dengan campuran sayur segar yang dipanggil kerabu. Nasi Kerabu biasanya dihidang dengan lauk sampingan seperti ayam, daging, ikan atau telur masin, mengikut citarasa peribadi dan selera tekak setiap orang.
Warna biru nasi itu dihasilkan dengan merendam dan menanak nasi menggunakan Bunga Telang untuk mendapatkan warna dan aroma menarik yang semulajadi. Namun, memandangkan Nasi Kerabu sudah boleh didapati di setiap negeri di Malaysia, ramai orang lebih menggunakan pewarna makanan yang selamat kerana ia lebih mudah berbanding menggunakan Bunga Telang. Jadi, tidak pelik lah jika anda menemui Nasi Kerabu berbeza warna di negeri lain!
Mengikut cara tradisional penyediaan Nasi Kerabu, ikan akan dipanggang dan dihancurkan sebelum digoreng bersama kelapa, halia dan bawang merah yang sudah digiling.
Tambahan pula, Nasi Kerabu tidak akan lengkap tanpa bahan bahan penting iaitu sayur-sayuran yang dicincang seperti tauge, kobis, kacang panjang yang biasanya dicampur dengan serunding kelapa dan budu apabila dimakan.
Nasi Kerabu biasanya dimakan bersama lauk sampingan seperti Ayam Percik, Ikan Bakar, Daging Bakar dan Ayam Goreng bagi mengimbangi rasa serunding kelapa ikan, sambal dan budu tersebut. Lagi satu lauk Kelantan yang digemari ramai ialah Solok Lada, iaitu lada yang berisi ikan dan kelapa. Dah boleh bayangkan kelazatannya, kan?
Nasi Kerabu versi Thailand?
Tahukah anda di Selatan Thailand juga terdapat hidangan yang terkenal yang sangat serupa dengan Nasi Kerabu? Ya, ia dikenali sebagai Khāoyam (ข้าวย).
Apa yang membezakan hidangan ini dengan Nasi Kerabu ialah warna nasi yang berwarna putih, bahan perasa yang digunakan. Khāoyam disediakan menggunakan udang kering atau ikan, serunding kelapa, mangga hijau, pomelo, air limau dan dihidang bersama tauge, serai yang dihiris nipis dan daun limau purut.
Berbeza dengan Nasi Kerabu yang biasanya dimakan dengan pelbagai lauk sampingan yang berat, Khāoyam tidak dihidang dengan daging atau protein lain.
Setiap makanan tradisional tempatan yang terkenal mungkin mempunyai sejarah tersendiri yang tidak kita ketahui.
Malaysia mempunyai reputasi yang kukuh sebagai syurga makanan kerana ia merupakan sebuah negara yang pelbagai dan berbilang kaum. Selain itu, pengaruh warisan dari negara negara jiran juga menambah perisa kepada budaya makanan Malaysia.
Seronok kan belajar tentang sejarah hidangan tempatan kegemaran anda?