Takoyaki adalah salah satu hidangan jalanan paling terkenal dari Jepun yang memikat selera dengan tekstur rangup di luar dan lembut di dalam. Hidangan berbentuk bulat ini biasanya diisi dengan potongan kecil sotong (tako), namun variasi moden membolehkan penggantian sotong dengan pelbagai bahan lain seperti ayam, udang, atau keju.
Berikut adalah resepi takoyaki yang mudah diikuti untuk anda cuba di rumah.
Bahan-bahan:
- 200g tepung gandum
- 2 biji telur
- 450ml air sejuk
- 1 sudu kecil kicap
- 1/2 sudu kecil serbuk stok ikan
- 250g sotong (tako), dipotong kecil
- Daun bawang yang dicincang halus
- Serpihan ikan bonito
- Mayonis
- Sos BBQ
- Minyak masak untuk menggoreng
Cara Penyediaan:
Menyediakan Adunan:
Dalam mangkuk besar, campurkan tepung gandum, telur, air sejuk, serbuk stok ikan, dan kicap. Pukul hingga sebati dan pastikan adunan tidak terlalu pekat atau cair. Adunan yang baik akan mempunyai konsistensi yang sedikit lebih cair daripada adunan lempeng.
Panaskan Acuan:
Panaskan acuan di atas api sederhana. Oleskan sedikit minyak pada setiap lubang acuan, pastikan ia disapu rata untuk mengelakkan takoyaki melekat.
Menuangkan Adunan:
Setelah acuan panas, tuangkan adunan ke dalam setiap lubang acuan hingga penuh. Jangan risau jika adunan melimpah sedikit, ini biasa dan akan membantu anda mendapatkan bentuk bulat yang sempurna.
Masukkan Isi:
Letakkan sepotong sotong (tako) ke dalam setiap lubang yang berisi adunan. Tambahkan sedikit daun bawang cincang dan acar halia untuk rasa yang lebih autentik.
Memutarkan Takoyaki:
Apabila bahagian bawah takoyaki mulai keperangan, gunakan penyepit atau lidi panjang untuk memutarkan bola takoyaki perlahan-lahan. Lakukan ini secara beransur-ansur hingga takoyaki berbentuk bulat dan masak sepenuhnya di semua bahagian.
Hidangan:
Setelah masak, angkat dan letakkan di atas pinggan. Siramkan mayonis Jepun dan sos takoyaki di atas takoyaki. Taburkan serpihan ikan bonito di atasnya.
Takoyaki bukan hanya snek, tetapi juga pengalaman membuat makanan yang menyeronokkan dan memuaskan. Dengan resepi ini, anda boleh merasai keunikan Jepun di dapur sendiri dan memukau keluarga serta rakan-rakan dengan hidangan tradisional yang penuh cita rasa. Selamat mencuba!
Baca juga artikel:
- Resepi Cucur Roti: Masak Dengan Hanya Tiga Langkah Mudah!
- 5 Tips Goreng Bendi Supaya Tak Berlendir Dan Enak Dimakan.
Artikel oleh Syuriana Ibrahim.