Kuih sopang adalah salah satu hidangan atau kuih tradisional Negeri Sembilan, dan namanya diolah mengikut dialek Negeri Sembilan. Kuih tradisional ini diperbuat daripada tepung pulut, pisang dan gula melaka dan diisi dengan inti yang dibuat menggunakan kelapa parut muda. Ianya selalu dihidangkan dengan kuah santan pekat. Kulit sopang dibuat menggunakan tepung pulut dan air daun pandan (jika inginkan warna hijau). Kulitnya dibuat tawar kerana ia mempunyai intinya yang manis. Intinya dibuat dengan memasak kelapa parut bersama gula melaka sehingga pekat. Setelah inti dimasukkan ke dalam kulit, ia dibentuk bulat atau seperti karipap dan kemudian dikukus dengan siraman santan.
Dari segi rupa dan bentuknya, ada yang menganggap sopang sama seperti kuih koci atau badak berendam tapi sebenarnya ia berbeza sama sekali dari segi proses dan juga rasa. Tekstur kuih ini juga seakan kuih koci iaitu kenyal dan rasa yang manis bersama kelemakan dari santan yang pekat juga akan menyelerakan.
Kuih sopang ini sangat popular di Negeri Sembilan dan merupakan hidangan istimewa terutama pada hari musim perayaan atau majlis kesyukuran. Akan tetapi, kuih sopang kurang diminati di kalangan golongan muda sebagai makanan harian kerana ia berkuah dan dianggap leceh untuk dihidang dan dimakan. Kuahnya yang melekit menyebabkan seseorang itu terpaksa berhati-hati ketika memakannya, dan perlu membasuh tangan selepas memakannya.
Baca juga artikel:
Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.