Masakan Tradisional Melayu Berasaskan Nasi & Pulut (Part 2)

You are currently viewing Masakan Tradisional Melayu Berasaskan Nasi & Pulut (Part 2)

Masakan tradisional Melayu banyak dipengaruhi dari Kepulauan Indonesia dan Thailand. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika masakan Melayu memperlihatkan pengaruh-pengaruh dari negara- negara tersebut seperti pengaruh masyarakat Bugis dan Jawa. Berdasarkan sejarah, masakan tradisional Melayu telah berkembang dari Malaysia ke negara Brunei kerana ia juga merupakan gugusan Kepulauan Melayu yang juga dikenali sebagai Nusantara.

Masakan tradisional Melayu banyak berasaskan nasi dan pulut. Hal ini demikian, kedua-duanya tinggi karbohidrat dan menjadikan ia sebagai sumber tenaga utama kepada masyarakat zaman dahulu. Masyarakat zaman dahulu bekerja keras mencari rezeki dan memerlukan masa yang lama di sesuatu tempat, maka penyediaan masakan berasaskan nasi dan pulut menjadi bahan utama dalam menghasilkan sesuatu makanan supaya mereka kekal bertenaga.

Dalam artikel kali ni, min akan senaraikan produk berasaskan nasi. Lebih kurang macam Part 2 daripada artikel sebelum ni tau!

Makanan Berasaskan Nasi

1. Nasi Tumpang

nasi tumpang
Nasi Tumpang

Dalam dialek Kelantan, ‘Nasi Tupe’ adalah juadah yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang. Ianya dijadikan bekal kepada petani atau nelayan untuk di bawa ke lautan atau kebun kerana nasi ini lambat basi dan tahan lama. Nasi dibungkus dalam kelonsong berbentuk kon dengan menggunakan daun pisang yang telah dilayur. Dalam kelonsong tersebut, nasi diselang-seli dengan lauk pauk seperti gulai ikan, masak lemak udang, serunding, telur dadar dan timun. Nasi tumpang sangat unik kerana ia perlu dimakan ketika waktu sejuk namun kepelbagaian lauk dalam satu kelonsong membuatkan ia mempunyai rasa yang tersendiri.

2. Nasi Beringin

nasi beringin
Nasi Beringin

Makanan warisan ini merupakan juadah tradisi masyarakat negeri Johor. Nama beringin diambil sempena pokok beringin. Sekitar 80an, di Muar, sebuah gerai dibina di bawah pohon beringin dan di situlah nasi beringin mendapat nama jolokan. Nasi beringin seakan nasi lemak kerana ia menggunakan santan serta tidak berwarna dan seakan nasi minyak kerana ditumis menggunakan rempah ratus dan minyak sapi. Penggunaan minyak sapi, daun pandan dan jintan putih membangkitkan lagi aroma dan menambah kelazatan nasi dingin. Nasi beringin dihidangkan bersama dengan acar, ayam masak merah, dalca dan kurma ayam atau daging. Kebiasaannya, nasi beringin dijadikan menu istimewa semasa kenduri kahwin.

3. Nasi Telur

nasi telur
Nasi Telur

Mendengar kepada nama nasi telur mestilah terbayang akan nasi dan telur sahaja. Namun, nasi telur yang sebenar ialah nasi yang disajikan bersama telur ikan daripada ikan terubok. Telur ikan terubok dijadikan sebagai hiasan dan dihidangkan semasa perjumpaan keluarga dan majlis-majlis besar diraja seperti majlis besar, tetapi tidak semasa majlis perkahwinan. Hal ini demikian, menurut Datuk Redzuan Ismail atau dikenali dengan Chef Wan dalam sebuah rancangan televisyen, menu ini berasal dari dapur Diraja (Darina, 2019).

4. Burasak

burasak
Burasak

Makanan yang dipanggil burasak ini merupakan makanan tradisional suku kaum Bugis. Ianya bukan sahaja terkenal di negeri Johor malah terkenal juga di negeri Sabah kerana kedua-dua negeri ini berdekatan dengan Indonesia, maka tidak hairanlah pengaruh Bugis begitu meluas di kedua-dua negeri tersebut. Makanan ini juga merupakan hidangan istimewa dan hanya disediakan menjelang Hari Raya. Ianya disajikan bersama- sama dengan ayam masak likku (masak serai), ayam masak merah dan asam pedas ikan parang. Jika dilihat bentuk burasak, ia seperti lepat pisang kerana bentuknya yang leper dan dibungkus dalam daun pisang yang telah dilayur terlebih dahulu.

Ini adalah antara makanan warisan yang berasaskan nasi. Untuk artikel seterusnya, min akan kongsikan pula dengan korang makanan-makanan warisan yang berasaskan pulut pulak ya! Tunggu tauu!

Baca juga artikel:

Artikel oleh Nurul Humaira’ Hasan.

Leave a Reply