Bismillah! Untuk ramadan ke-17, Min bawakan resepi Ayam Kam Heong untuk korang yang nak masak menu ayam. Menariknya resepi ni adalah kerana kombinasi rasanya yang manis, pedas, dan umami. Selalunya korang akan jumpa makanan ni di restoran Cina Muslim. Apa kata kali ini korang cuba buat pula? Tak susah pun. Jom ikut cara-cara membuatnya!
MENU: AYAM KAM HEONG
Bahan-bahan:
- Ayam
- 1 sudu kecil garam halus
- 1 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 1 sudu besar tepung jagung
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 sudu kecil serbuk kari
- 1 genggam daun kari
- 1 sudu kecil kicap pekat
- 1 sudu besar sos cili
- Kicap manis
- 1/2 biji bawang holland
- 7 batang cili padi (dibelah tengah)
Cara-cara:
1. Bersihkan ayam dan letakkan di dalam mangkuk besar. Masukkan 1 sudu kecil garam dan 1 sudu besar serbuk cili.
2. Kemudian, tambahkan juga 1 sudu kecil serbuk kunyit dan 1 sudu besar tepung jagung. Gaul rata ayam bersama adunan dengan menggunakan tangan.
3. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan ayam satu per satu di dalam minyak panas.
4. Gorengkan ayam menggunakan api sederhana sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan buat sementara.
5. Untuk bahan kisar, masukkan 1 biji bawang besar, 3 ulas bawang putih dan sedikit air. Kisar hingga halus.
6. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan yang telah dikisar tadi. Kacau sehingga bawang kisar bertukar warna perang.
7. Masukkan 1 sudu kecil serbuk kari. Gaul rata.
8. Letakkan sedikit air supaya tidak terlalu kering. Gaul sekejap dan boleh terus masukkan satu genggam daun kari. Gaul rata.
9. Seterusnya, letakkan 1 sudu kecil kicap pekat, 1 sudu besar sos cili dan juga kicap manis. Kacau rata dan masukkan sedikit air.
10. Setelah gaul rata dengan air, masukkan ayam yang telah digoreng sebentar tadi.
11. Masukkan 1/2 biji bawang holland yang dimayang dan 7 batang cili padi yang dibelah tengah.
12. Gaul rata ayam bersama kuahnya sambil senyum di depan kamera. Eh lupa, tiada siapa nak rekod kita masak.
13. Masak sekejap dalam 5 minit dan sedia untuk dihidang.
Seperti biasa, Min akan sediakan alternatif tempat untuk berbuka puasa kalau korang nak makan menu ni tanpa masak di dapur rumah. Boleh klik sini. Xie Xie.
Video penuh: Ayam Kam Heong
Artikel oleh Nor Azhariah binti Mohamad Nor